Lagi Pendedahan Oleh Mantan MB Ahmad Said!

1436

Oleh : Ahmad Amzad Hashim

Saya tidak sempat mencatat secara terperinci apa yang disebut oleh mantan Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said, di Perasmian Mesyuarat Agong UMNO Bahagian Kemaman baru baru ini. Turut berada di pentas perasmian ketika itu adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO.

Saya percaya ada ramai pemimpin kanan yang turut berada di situ yang menjadi ahli UMNO Bahagian Kemaman termasuk menteri pusat, Dato Seri Ahmad Shabery Cheek, Dato Wan Hakim, Ketua Penerangan UMNO Terengganu dan lain-lain lagi.

Video ucapan beliau menjadi viral kerana banyak fakta yang disebut adalah selari dengan apa yang telah banyak ditulis dan diceramahkan oleh PAS selama ini termasuk melalui perjuangan berterusan yang melibatkan mobilisasi rakyat Terengganu berhubung isu Royalti Petroleum Terengganu.

IMG-20150814-WA0050Dengan jelas melalui ucapan Ahmad Said, ternyata dakyah penerangan UMNO bahawa Terengganu sebenarnya tiada hak apa apa terhadap hasil petroleum dan dakyah serta propaganda bahawa rakyat Terengganu kena merasa syukur dan terhutang budi kepada kerajaan pusat kerana ‘kasihankan’ rakyat negeri Terengganu lalu bermurah hati memberi wang ehsan/dana khas adalah merupakan PEMBOHONGAN dan USAHA MEMPERBODOHKAN seluruh rakyat Terengganu .

Peranan ejen mengkhianati negeri ini telah dimainkan oleh jentera Penerangan UMNO Terengganu termasuk melalui pelbagai saluran yang dikawal mereka termasuk JASA.

DS Ahmad Said mendedahkan dengan agak terperinci kisah belakang tabir di sebalik syarikat 1MDB yang menjadi skandal terbesar negara ketika ini dengan hutang berjumlah kemungkinan sudah mencapai RM47Billion ekoran kejatuhan berterusan nilai matawang ringgit.

Beliau malah dengan tegas mendedahkan bagaimana perjanjian petroleum dengan pusat adalah ‘Null and Void’ kerana bercanggah dengan Undang undang Tubuh Negeri Terengganu.

Bagaimana 1MDB asalnya syarikat Terengganu Investment Authority (TIA)yang bertujuan untuk melaburkan wang royalti petroleum yang tidak semuanya diserahkan kepada negeri Terengganu dan dikawal oleh kerajaan Pusat, Bagaimana beliau selaku MB Terengganu sendiripun tidak pernah ditunjukkan M&A Penubuhan Syarikat. Tak tahu Memorandum Penubuhan syarikat, apa bidang, kuasa, aturan aturannya?. Bagaimana kesemua Ahli Lembaga Pengarah TIA boleh dilantik bukan orang Terengganu. Semua ‘orang KL’.

Mahu cagar minyak di perairan Terengganu.

Dalam keadaan ini Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Dato’ Wan Hakim telah membuat kenyataan bahawa cerita 1MDB mahu cagar minyak Terengganu adalah cerita sensasi yang direka oleh DS Ahmad Said. Lalu dicabar oleh DS Ahmad Said dengan terus bersumpah Wabillahi, Watallahi di pentas itu. Malah beliau sedia mengulanginya di mana mana termasuk di depan Kaabah sekalipun, ujar beliau.

Ketika Kerajaan Pusat umumkan menubuhkan Jawatankuasa Pusat Mengkaji Tuntutan Royalti Petroleum, Sultan Terengganu tidak memperkenankan. Tak boleh hantar wakil. Sultan titahkan jawatankuasa kaji Undang undang Tubuh Negeri Terengganu.

Jawatankuasa inilah yang telah secara mengejutkan membuat kenyataan “TIADA MINYAK DI TERENGGANU” yang langsung tidak dibantah oleh pemimpin pemimpin UMNO Terengganu, khususnya Menteri Besar sekarang DS Ahmad Razif.

ahmad said sumpahNasib baik ada yang sempat tunjuk kepada Tuanku yang deraf perjanjian yang disuruh tandatangani cuba menipu negeri.

TIA tak pernah panggil mesyuarat. Jho Low tiba tiba beritahu nak keluar bon hutang RM5billion.

Ahmad Said teruskan lagi tentang bagaimana kerajaan pusat gunakan sehingga RM1.6billion wang negeri Terengganu untuk bayarkan kos pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2. Itu sehingga 40% dari seluruh kos. Negeri negeri lain semua kerajaan pusat yang bayar kerana itu tanggung jawab pusat. Dalam keadaan itu tak pernah runding apa apa untuk guna duit Terengganu. Di mana integriti, dimana kejujuran, soal beliau.

Beliau menyebut lagi tentang medan minyak di BERTAM PM307. Ini 120km dari Pantai Geliga Kemaman. Lundin Oil yang buat cari gali tulis surat rasmi kepada Ketua Polis, Ketua Marin, Ketua SUK dalam Perairan Terengganu. Semak dalam peta sempadan, memang hak Terengganu. Tapi bila minta pengesahan dari Petronas, sampai sekarang tak dijawab.

Banyak lagi isu diulas oleh DS Ahmad Said yang saya rasa rugi jika tidak dicatat fakta faktanya kerana ia amat berguna.

Ini termasuk soal tanah tanah milik 1MDB di Tun Razak Exchange dan Subang.

Tentang Tabung Haji yang beli tanah 1.5 ekar milik 1MDB dengan harga RM180juta. Bagus soalannya. Jika benar pembelian berlaku tunjukkan borang pindah miliknya. Apakah nombor Lot tanah berkenaan? Apakah Nombor Geran Tanah Berkenaan? Sebenarnya geran besar tanah 70 ekar di Tun Razak Exchange itu sudah dipecah sempadankah untuk dijual beli? Atau bayar sahaja wang dulu, sedangkan dokumen masih belum teratur sehingga boleh memberi risiko kepada pelaburan wang Tabung Haji itu?

Apa pun kita menunggu lebih banyak maklumat lanjut dengan akhirnya ada keberanian dari seorang pemimpin UMNO seperti Ahmad Said yang menurut jejak Tun Mahathir yang juga melondehkan satu persatu kejahatan yang telah dilakukan oleh UMNO kepada rakyat negara ini.

Sangat jelas pemimpin UMNO Terengganu yang ada ketika ini menjadi ejen yang mengkhianati kepentingan rakyat dan Negeri Terengganu, dengan menjadi jurucakap kepada ‘boss’ mereka di Pusat, demi cita cita politik dan kepentingan peribadi masing masing

***HAJI AHMAD AMZAD HASHIM ialah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat
24hb. Ogos 2015