Laksanakan Inisiatif Dan Strategi Pusat Secara Telus, Berperlembagaan

238

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu mengalu-alukan strategi dan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan persekutuan dalam Kajian Separuh Penggal (MTR) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Timbalan Diperpetua PAS Besut, Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, menyediakan ekosistem perniagaan yang lebih baik di Kawasan industri termasuk di Projek Taman Biopolimer Kertih (KBP) akan membawa banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Kawasan perindustrian ini memerlukan infrastruktur yang lengkap dan ia tidak boleh dicapai tanpa bantuan dan kerjasama kerajaan persekutuan. Kami mengalu-alukan MTR RMK12 yang menekankan pusat perindustrian Terengganu sebagai keutamaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Industri dan Teknologi Hijau negeri berkata setakat ini, jumlah pelaburan yang dikutip dalam KBP meningkat kepada RM5.6 bilion dengan lebih 5,000 peluang pekerjaan diwujudkan khas untuk masyarakat setempat.

Pembentangan dalam sidang Parlimen semalam menyatakan, antara inisiatif kerajaan pusat iitu adalah meningkatkan potensi ekonomi serantau termasuk di negeri Terengganu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul RMK12 MTR, 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini berkata sebanyak 11 projek pengangkutan dan logistik baharu diperkenalkan bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara yang mampan dan berdaya tahan.

Dalam pada itu, rakyat negeri ini menggesa agar kerajaan Anwar membuktikan keprihatinannnya untuk membangun negara dan memacu pertumbuhan ekonomi secara adil, menurut peruntukan perlembagaan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Seorang pesara sektor awam, Ismail Said, 65, berkata, Anwar yang memimpin kerajaan di Putrajaya perlu mengotakan janji beliau untuk melunaskan pembayaran wajib kerajaan persekutuan kepada Terengganu.

“royalti petroleum wajib dibayar ikut jadual, jangan leceh, jangan ‘kelong’ itu hak rakyat, jangan hukum rakyat dengan polisi-polisi bukan peraturan yang menyusahkan,

“hubungan kerajaan negeri dan pusat jelas dinyatakan dalam perlembagaan, tak perlu berdolak dalih dan mengundur ke belakang macam pemerintahan Umno dan BN dulu,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim kesal, kerana ada arahan tidak bertulis ‘dari atas’ untuk tidak lagi melibatkan Exco Pertanian Terengganu dalam program-program yang melibatkan jabatan mereka.

Katanya, janganlah direnggangkan hubungan yang sangat harmoni telah terjalin sejak lebih lima tahun, saling membantu dan memperkukuhkan, bekerja dalam satu pasukan atas semangat federalisma demi untuk menyumbang kepada rakyat.

“Saya memahami dilema yang dihadapi oleh kawan-kawan ketua jabatan. Mereka adalah ‘staf federal’, bos besar ada Putrajaya tapi kaki berpijak di bumi Terengganu. Kami di Terengganu pula meraikan dan menyayangi mereka seikhlas hati,

“Di mana bumi dipijak maka di situlah langit dijunjung. Kita bercakap hal moving forward tapi ada mereka yang berpolitik mengundur ke belakang. Inilah hakikat yang agak menyedihkan,” ujar beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Terengganu.