Kuliah Dhuha Bersemuka Setelah Dua Tahun Terhenti

176

MARANG – Setelah lebih dua tahun hanya mengikuti kuliah dhuha secara atas talian, hari ini rutin mingguan Masjid Rusila diadakan secara bersemuka.

Rata-rata orang ramai yang ditemui meluahkan rasa sebak dan sayu dapat kembali semula untuk mengikuti kuliah yang disampaikan oleh Presiden Parti Islam Se-Malaysia(PAS) Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang itu.

Seorang ibu, Zabidah Mamat, 59 bersyukur sambil meluahkan kesayuannya dapat berkumpul bersama keluarga di Dewan Tok Guru sambil mendengar kuliah.

“Sayunya hati ini, dipanjangkan umur untuk mendengar suara Tuan Guru, dengan anak-anak dan cucu-cucupun ikut sama datang,

“mak saya datang, rasa macam tak puas hari ini, insya-Allah minggu depan dan seterusnya boleh lagi menikmati suasana begini,” katanya yang sambil menyapu air mata kesyukuran.

Zabidah Mamat bersama keluarga di Dewan Tok Guru

Manakala Arif Fikri Mohd, 22, melahirkan rasa gembira dapat melepaskan rindu dan merasai kembali suasana yang telah lama ditinggalkan.

“Syukur saya dapat datang kembali hari ini, dapat mendengar kuliah Tuan Guru secara ‘mengadap’ Tuan Guru,” ujar pemuda yang tinggal di Cabang Tiga itu.

Sementara itu, Ketua Keselamatan Masjid Rusila, Abdul Malik Mahmud, 65 berkata untuk permulaan hari ini, pihak pengurusan tidak membenarkan sebarang gerai jualan beroperasi di hadapan masjid untuk menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya, pihak polis dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga turut membuat pemantauan dan pengunjung yang tidak mematuhi SOP akan didenda.

“Kita nak tengok respon pengunjung boleh mematuhi SOP atau tidak dan pihak Jawatankuasa masjid akan membuat keputusan sama ada akan diteruskan pada minggu depan,

“disamping itu kita menyediakan penyukat suhu, buku kehadiran, pengimbas MySejahtera, topeng muka dan ‘sanitizer’, ” jelasnya lagi.

Arif Fikri Mohd