Kukuhkan Amalan Demokrasi, Walau Bersidang Sehari

397

KUALA TERENGGANU – Walaupun Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Kali Kelima Belas 2025, berlangsung hanya satu hari ia tetap membawa makna besar dalam memperkukuh amalan demokrasi berparlimen di negeri ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Dato’ Ustaz Mohd Noor berkata, ia ditekankan bahawa sesi pertanyaan-pertanyaan lisan yang diadakan adalah antara teras utama sistem demokrasi, kerana ia membuka ruang kepada wakil rakyat untuk menyuarakan isu dan kebimbangan rakyat di kawasan masing-masing.

“Inilah antara bentuk amalan demokrasi berparlimen yang menjadi teras kepada peranan institusi legislatif,” katanya.

Beliau yang juga Bendahari PAS Terengganu berkata demikian dalam pembukaan Sidang DUN Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Ke-15, di Dewan Undangan Negeri, pada hari ini.

Menurutnya, sidang ini bukan sekadar prosedur rutin, tetapi membuktikan bahawa DUN Terengganu terus hidup, dinamik dan berfungsi sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan.

“Memastikan segala pelaksanaan dasar dapat diperhalusi dan dipertanggungjawabkan dengan lebih telus dan berkesan,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan tahniah kepada Parlimen Malaysia atas kejayaan menganjurkan beberapa siri mesyuarat penting sempena Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dan Presiden AIPA ke-46 pada tahun ini.

Antaranya kata beliau, termasuk Mesyuarat WAIPA di Sarawak, Mesyuarat Parlimen Muda AIPA di Selangor dan Mesyuarat AIPACODD di Pahang.

“Kemuncaknya, Sidang Kemuncak AIPA ke-46 dijadual berlangsung pada 16 hingga 22 September 2025 di Kuala Lumpur, menjadi medan penting menonjolkan kepimpinan Malaysia dalam menjayakan Visi Komuniti ASEAN 2045.

“Dewan pada hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap usaha yang cemerlang ini, dan mendoakan agar Sidang Kemuncak AIPA ke-46 mencapai kejayaan gemilang serta memperkukuh kedudukan Institusi Legaslatif Malaysia di persada rantau dan antarabangsa,” jelasnya.

Justeru itu, beliau turut menggesa semua Ahli Dewan agar terus menjalankan amanah dengan berhemah, berfakta dan berpandangan jauh demi kemajuan rakyat dan negeri Terengganu secara keseluruhan.