‘Korban Sejuta Sejahtera’

324

Oleh : Safwan

BESUT – Program Korban Sejuta Sejahtera membawa dimensi baharu apabila ibadah korban dimanfaatkan sebagai wadah memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta dan rakyat ke arah pembangunan ekonomi dan digital.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, YB Haji Mohd Nurkhuzaini bin Ab Rahman berkata, program ini bukan hanya mengangkat semangat pengorbanan dan kebersamaan, tetapi juga menjadi platform untuk mengumumkan inisiatif pembangunan digital yang bakal memberi manfaat besar kepada rakyat.

“Sekorkan lembu sado yang seberat sekitar 1 tan ini disumbangkan oleh Syarikat Colla Conneting Edge dengan kerjasama dengan Syarikat TComm yang merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri berkata demikian ketika ditemui di Dewan Terbuka Limbongan, pada semalam.

Mwnurutnya, penyembelihan lembu berkenaan disempurnakan sendiri oleh YB Mohd Nurkhuzaini, melambangkan semangat kepimpinan berjiwa rakyat.

“Korban ini bukan sekadar ibadah, tetapi menjadi pemangkin kepada usaha lebih besar untuk membangunkan kesejahteraan rakyat, termasuk dalam bidang ekonomi digital dan komunikasi,” ujarnya.

Tambah beliau, kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak turut membantu menjayakan program ini.

Malah katanya, hubungan ini turut memberi manfaat dalam aspek pembangunan infrastruktur digital.

“Ketika Program LIMA baru-baru ini, Syarikat Colla Connecting Edge telah menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pertahanan untuk menyediakan menara telekomunikasi di kawasan-kawasan strategik bawah kementerian, termasuk di Pengkalan Udara Gong Kedak yang dikenal pasti sebagai kawasan liputan lemah,” katanya.

Beliau menjelaskan lagi, beberapa syarikat telekomunikasi utama seperti Celcom, Digi dan lain-lain telah bersetuju menempatkan peralatan mereka di menara berkenaan, bagi memastikan capaian liputan dari Kuala Besut ke Jerteh tidak lagi menjadi masalah.