KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Kuala Nerus menyeru ahli dan pendokong parti itu agar terus menyumbang untuk meningkatkan kemudahan Kompleks Tarbiyyah Darul At-Taqwa ( KOMTAQ).
Yang Dipertuanya, Cikgu M Shukrimun Shamsudin berkata, banyak lagi kelengkapan yang perlu diadakan bagi meningkatkan gerak kerja parti peringkat kawasan.
“Kompleks (KOMTAQ) sudah siap tapi kita kena guna penjana elektrik untuk hidupkan pendingin hawa dan ada yang sebut perlu van dan van jenazah untuk kegunaan orang ramai,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam dana Pembangunan Komtaq pada Jumaat, 13 Disember.
Turut hadir ialah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya PAS negeri Terengganu, Dato’ Ustaz Husain Awang.
Sebelum itu, pada majlis yang sama, Setiausaha PAS Kuala Nerus, Ustaz Zakaria Dagang berkata, Kompleks Komtaq yang bina sejak beberapa tahun yang lalau menjadi tumpuan bagi mengadakan pelbagai program.
Sedangkan kata beliau, Kompleks tersebut masih memerlukan kewangan untuk melengkapkan infrastruktur yang tersergam indah itu.