Komitmen Tun M: Royalti Minyak Terus Ke Kerajaan Terengganu

1987

Oleh : Suhaimi Taib

Kuala Terengganu – Menteri Besar Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, Kerajaan Terengganu diberi komitmen oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa royalti petroleum dan gas akan disalurkan terus kepada kerajaan negeri tanpa melalui mana jabatan atau agensi lain.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang menjelaskan demikian ketika menggulung perbahasan Titah Diraja Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke 14 di sini pada 4 Julai.

“Kita (Kerajaan Terengganu) berpegang teguh kepada komitmen yang telah dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad,

“secara prinsipnya bahawa royalti petroleum akan diberikan secara terus kepada Kerajaan Terengganu tanpa melalui jabatan atau agensi yang lain,” katanya.

Penjelasan Menteri Besar ini mendapat tepukan gemuruh dari semua ADUN dalam mesyuarat tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, Majlis Petroleum Terengganu (‘Terengganu Petroleum Council’ (TPC) telah mengenalpasti beberapa projek bernilai RM5 Billion melibatkan kerja-kerja dan operasi di perairan negeri Terengganu.

Dan ianya mampu dilaksanakan oleh syarikat-syarikat negeri Terengganu sendiri.

“Setelah rundingan dengan syarikat gergasi petroleum negara (PETRONAS) dibuat, sebuah anak syarikat negeri Terengganu telah dianugerahkan projek bernilai RM30 juta,

“ianya sebagai permulaan kerja-kerja yang lebih besar nilainya di masa akan datang,” katanya.

Sebelum itu Sultan Mizan bertitah, penubuhan TPC pada bulan Mei 2017 bertujuan untuk memastikan kedaulatan Negeri Terengganu sebagai pengeluar minyak dan gas yang utama.

Dan Semenanjung Malaysia dapat dilindungi hak dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan juga negeri.

“Beta berharap dengan penubuhan TPC, Kerajaan Negeri Terengganu dapat menggunakannya sebagai ‘platform’ dalam menangani urusan berkait dengan royalti dan tuntutan hak Telaga Minyak Bertam,

“menambah peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat Beta dalam industri minyak dan gas,” titah baginda ketika merasmikan DUN Terengganu di sini pada 2 Julai.

Sehubungan itu, Dr Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan Negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa bersama yang akan dipengerusikan oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang dan Terengganu.

Menurut beliau, jawatankuasa itu akan bersidang bagi mendapatkan persetujuan bersama untuk mengkaji titik akhir sempadan darat Negeri Terengganu dan Pahang.

Dan akan memulakan rundingan bagi menentukan sempadan marintim antara kedua-dua negeri berkenaan.

“Jawatankuasa tersebut akan menjalankan kerja-kerja pemetaan dan pengukuran,

“bagi menentukan sempadan darat Negeri Terengganu dan Pahang ke titik akhir sempadan kedua-dua negeri berkenaan,” jelasnya lagi.