Komentar Pengubahsuaian Bajet

677

Sekalipun tidak menafikan keperluan untuk melakukan pengubahsuaian terhadap bajet dan ia juga biasa diamalkan, namun ia tetap menunjukkan kelemahan Kerajaan khususnya pada aspek kajian dan perancangan sehingga menghasilkan sebuah bajet yang tidak sensitif dan tidak mampu berakomodasi terhadap perubahan meskipun untuk jangka masa yang singkat. Bajet 2015 dan Bajet 2016 mengalami pengubahsuaian selepas hanya beberapa bulan ia diluluskan di Parlimen.

2. Pengurangan potongan caruman KWSP kepada 3% pula tidak menyelesaikan masalah samada kepada pendapatan negara atau perbelanjaan rakyat. Sebaliknya ia adalah suatu ancaman terhadap simpanan masa depan rakyat serta berpotensi menggalakkan rakyat berbelanja lebih dalam suasana ekonomi yang tidak baik seperti hari ini sedangkan yang dituntut dalam situasi ini adalah berjimat-cermat.

3. Sepatutnya Kerajaan perlu lebih banyak membuat pemotongan pada perbelanjaan pembangunan kerana selalunya ketirisian berlaku menerusi pembinaan projek-projek mega kerana ia sering menjadi saluran mengagih-agihkan kekayaan negara kepada korporat-korporat tertentu yang “berbudi” kepada Kerajaan atau pemimpin-pemimpin tertentu. Pemotongan perbelanjaan pembangunan juga jika dibuat seoptimumnya akan dapat menjimatkan lebih banyak pendapatan negara.

4. Mekanisma pengagihan beras menerusi Program MyBeras perlu diperincikan segera kerana bimbang ia menjadi medium kepada pihak tertentu untuk “menyedut” perolehan negara atas nama projek kebajikan rakyat. Semua pihak yang terlibat dalam rantaian perbekalan beras ini sehingga sampai kepada penerima yang layak mesti disenaraikan serta diumumkan dan harga beras yang ditawarkan mesti pada harga patut sebagaimana harga pemborong. Jangan pula ada yang menangguk dengan harga perbekalan yang melebihi harga pasaran. Mekanisma pengagihan mestilah dibuat melalui pejabat kebajikan masyarakat dengan kerjasama setiap ahli parlimen di kawasan tersebut samada ahli parlimen daripada parti pemerintah atau pembangkang. Senarai penerima pula tidak boleh didiskriminasikan hanya kerana perbezaan politik seseorang.

5. Akhirnya, ingatan saya kepada Kerajaan agar memberikan lebih perhatian terhadap aspek halal dan haram dalam pengurusan pendapatan dan perbelanjaan negara. Perkara-perkara yang haram inilah sebenarnya menjadi punca tidak berkatnya pendapatan yang negara miliki dan ditarik banyak nikmat oleh Allah s.w.t.

6. Saya masih berpegang bahawa percukaian GST adalah bercanggah dengan Islam kerana ia dikenakan juga kepada golongan yang tidak berkemampuan apabila berbelanja malah terbukti secara praktikalnya GST adalah punca kepada kenaikan harga barang. Kerajaan perlu membatalkan percukaian GST dan meningkatkan pencapaian kutipan cukai korporat dan boleh memperkenalkan cukai baru seperti cukai berdasarkan simpanan sebagai alternatif kepada percukaian GST. Saya bimbang cukai yang bercanggah dengan Islam menjadi punca sumber rezki yang halal oleh kerajaan ditarik oleh Allah.

Sekian.

“Membina Malaysia Sejahtera”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP). Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.