Alhamdulillah saya diberi kesempatan bersama-sama dengan deligasi PAS yang diketuai oleh Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyertai KL Summit yang dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Tuanku Abdullah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, KLCC baru-baru ini.
Persidangan yang berlangsung selama tiga hari, bermula pada 19 Disember 2019 dan berakhir pada 21 Disember 2019 ini mendapat perhatian begitu meluas samada di Dunia Islam mahupun di luar Dunia Islam. Ini dapat dilihat daripada jumlah tetamu yang hadir samada dari Dunia Islam mahupun diplomat-diplomat asing dari luar Dunia Islam dan mendapat liputan meluas media cetak dan eletronik dari seluruh dunia.
Empat buah negara diwakili oleh ketua negara masing-masing iaitu Malaysia, Turki, Iran dan Qatar. Adapun 18 buah negara lagi hadir secara rasmi dengan diwakili oleh wakil dari pelbagai peringkat samada Menteri, Duta atau pegawai-pegawai tinggi kerajaan masing-masing. Ianya turut dihadiri oleh 450 orang pemikir dan cendikiawan Islam dalam bidang masing-masing.
Dari D-8 kepada KL Summit
Sebelum saya mengulas lanjut tentang persidangan KL Summit yang baru sahaja melabuhkan tirainya beberapa hari lalu, adalah penting untuk dinyatakan di sini kaitannya antara D8 dan Resolusi KL Summit yang telah dipersetujui dan disepakati bersama.
D-8 adalah gagasan yang telah dicetuskan oleh Almarhum Prof. Nejmuddin Erbakan pada 1996, bekas Perdana Menteri Turki yang ke 23 dari tahun 1996 -1997 dan merupakan arkitek utama penubuhan D-8. Tujuan utama kerjasama ini ialah untuk memaksimakan kedudukan setiap negara pada pentas ekonomi dunia dan mewujudkan peluang-peluang baru dalam bidang pelaburan di kalangan negara anggota D-8. Negara yang menyertai D-8 adalah Turki, Malaysa, Indonesia, Mesir, Pakistan, Iran, Bangladesh dan Nigeria.
Dengan nilai perdagangan di kalangan negara anggota D-8 yang melebihi USD 70 billion serta meliputi 3.5% dari jumlah perdagangan dunia dan jika ia mampu diaktifkan secara total dan mendapat kerjasama yang baik di kalangan negara anggota, adalah dipercayai ia mampu melonjakkan kembali Dunia Islam dalam arena ekonomi mahupun perdagangan antarabangsa.
Antara resolusi yang telah disepakati ialah mewujudkan matawang khusus perdagangan antara negara-negara Islam iaitu Dinar Emas. Menariknya cetusan idea almarhum ini diakui sebelum diwujudkan matawang Euro antara negara-negara Kesatuan Eropah (EU). Ini menunjukkan pandangan jauh beliau dalam usaha untuk menyatukan Dunia Islam dengan dimulai 8 buah negara terlebih dahulu yang mempunyai kekuatan masing-masing sebelum mengembangkan gagasan ini keseluruh Dunia Islam.
Namun begitu gabungan ini hanya sempat bertahan beberapa tahun sahaja tanpa dapat merealisasikan objektif yang telah digariskan sepenuhnya. Akan tetapi paling kurang ia dapat mengeratkan lagi hubungan antara negara-negara Islam tersebut dan menjarakkan permusuhan antara satu sama lain.
Musuh-musuh Islam menyedari usaha tersebut boleh mencetuskan kebangkitan semula Dunia Islam dengan membuat perancangan untuk merungkaikannya dengan menjatuhkan setiap ketua-ketua negara D-8 dengan tidak dinafikan terdapat di sana isu-isu dalaman yang tersendiri. Pada tahun 1997 Almarhum Prof. Nejmuddin Erbakan yang mencetuskan idea ini digulingkan oleh pihak tentera dan dihukum tahanan dalam rumah.
Apa yang pasti, KL Summit adalah sebagai pencetus dalam usaha untuk merealisasikan kembali perlaksanaan D-8. Jika diteliti secara mendalam, KL Summit adalah platform untuk menguatkan kembali kesatuan Dunia Islam baik dari sudut politik, ekonomi dan ummah yang dirangka sepertimana D-8 serta menepati konteks masakini namun dalam masa sama meneruskan kesinambungan gagasan D-8. KL Summit adalah usaha permulaannya, dengan agenda yang dibentang serta resolusi yang dipersetujui, KL Summit dilihat mampu mewajahkan kembali D-8 dalam mencorakkan kesepaduan dan masa depan Dunia Islam.
KL Summit Mewajahkan Kembali D-8
Cetusan semula untuk menyatukan negara-negara Islam bagi menghadapi cabaran semasa ini datang dari pertemuan antara Imran Khan, Perdana Menteri Pakistan dan Tun Dr. Mahathir Mohammad, Perdana Menteri Malaysia apabila Imran Khan memberi pandangan kepada Tun Mahathir supaya kedua-dua negara ini bergabung untuk menangkis pandangan negatif dunia barat ke atas Islam yang dilabel dengan keganasan. Ianya disambut oleh Tun Mahathir yang melebarkannya kepada Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan dan Emir Qatar, Syeikh Tamim Bin Hammad Al Thani.
Lantaran itu Tun Dr. Mahathir Muhammad mengutarakannya agar usaha ini dijalankan di atas platform KL Summit. Selain Malaysia sebagai tuan rumah, bukan sahaja tiga negara di atas sebagai tonggak utama turut bersama di KL Summit malah dijemput ketua-ketua negara utama Islam untuk menghadirinya bagi membincangkan masa depan Dunia Islam secara kolektif untuk mendepani cabaran-cabaran semasa yang semakin kompleks dan mengancam kesinambungan Dunia Islam.
Saya meneliti ucapan keempat-empat pemimpin negara Islam utama yang memberikan ucapan dalam KL Summit baru-baru ini. Ia boleh dirumuskan bahawa kesepakatan mereka agar Dunia Islam bersatu untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa dengan mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam yang pernah memimpin dunia satu ketika dahulu. Ini kerana Dunia Islam mempunyai unsur-unsur kekuatan yang cukup daripada kekayaan hasil bumi khususnya minyak dan gas sehingga kepada kekuatan sumber tenaga manusia yang mewakili satu perempat daripada jumlah penduduk dunia.
Boleh dikatakan setiap pemimpin yang berucap juga turut menyatakan dalam ucapan mereka beberapa isu utama yang menyelubungi Dunia Islam, konflik berlarutan yang mengancam Dunia Islam, cabaran masa depan geopolitik dunia dan kaedah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh Dunia Islam.
Recep Tayyib Erdogan dalam ucapannya membidas dunia barat yang mencipta keganasan lalu melabelkan agama Islam sebagai ganas. Ini bukan kali pertama beliau mengetengahkan isu ini, pernah satu ketika beliau membidas ketua negara Jerman kerana mengaitkan agama Islam dengan keganasan apabila beliau menyebut dalam kenyataannya ‘ Islamic Terorrism “.
Presiden Iran, Rouhani pula menyatakan cabaran-cabaran dalaman yang dihadapi oleh Umat Islam antaranya ialah krisis identiti, di mana golongan muda khususnya yang segan untuk menzahirkan identiti Islam, justeru musuh-musuh Islam mengambil peluang ini untuk memasukkan identiti yang tidak Islamik dan bermoral ke dalam pemikiran mereka.
Tun Dr. Mahathir Mohammad pula menyuarakan tentang isu keganasan dengan meletakkan kesalahan ke atas umat Islam juga kerana bertindak di atas asas emosi bukannya rasional dan fakta ilmu.
Tun Dr. Mahathir Mohammad yang ketika penubuhan D-8 adalah Perdana Menteri Malaysia mengangkat kembali gagasan ini setelah perbincangan antara Imran Khan, Perdana Menteri Pakistan dan Recep Tayyib Erdogan, Presiden Turki dengan idea yang sama tetapi strategi dan pendekatan yang berbeza.
Bolehlah dikatakan bahawa KL Summit adalah manifestasi dan wajah baru D-8 yang masih sama matlamat dan tujuannya namun diolah kembali bersesuaian dengan cabaran dunia masakini. Dengan pendekatan dan strategi terkini, KL Summit dilihat sebagai pencetus kesinambungan D-8 serta mampu menjadi asas dan pemangkin kepada usaha untuk mengembalikan Dunia Islam ke landasan yang sepatutnya.
Kegagalan OIC Dan Organisasi Utama Dunia Islam.
Kegagalan organisasi utama Dunia Islam seperti OIC dan Liga Arab dilihat sebagai punca kelemahan utama Dunia Islam baik dari sudut politik, ekonomi mahupun ummah dan juga menyebabkan cetusan idea serta penubuhan gagasan D-8 mahupun kelangsungan KL Summit.
Sesetengah pemimpin – pemimpin utama Dunia Islam yang menjadi tonggak kedua – dua organisasi besar Dunia Islam ini dilihat tidak mampu memimpin, menyelesaikan masalah Dunia Islam dan ummah. Di kalangan pemimpin tertentu Dunia Islam, mereka menjadikan organisasi tersebut sebagai lambang kekuasaan mereka malah untuk mengekalkan pengaruh mereka.
Kegagalan organisasi terbabit juga boleh dilihat sebagai kegagalan pemimpin tertentu Dunia Islam dalam menguatkan serta menyatupadukan Dunia Islam malah mereka ini kerap dilihat hanya mementingkan agenda dan keuntungan mereka sendiri tanpa memikirkan masa depan Dunia Islam. Contoh utama yang jelas ialah Palestin yang sehingga hari ini masih kabur masa depan dan jalan penyelesaiannnya. Palestin semakin hari semakin mengecil dan mungkin satu hari nanti terhapus dari peta dunia.
Dengan normalisasi hubungan beberapa negara utama Dunia Islam dengan Israel, ia dilihat sebagai petanda awal kehancuran Palestin malah kegagalan berterusan Dunia Islam dalam mendepani musuh Islam yang semakin menggoncang keutuhan Dunia Islam. Kegagalan organisasi Dunia Islam dapat dilihat dengan lebih jelas apabila berlaku konflik berterusan seperti di Yemen, Iraq dan Afghanistan. Kegagalan dalam menangani Islamophobia di serata peluk dunia turut mencalarkan imej Dunia Islam dan organisasi – organisasi terbabit.
Isu di Rohingya dan Uighur juga adalah satu lagi contoh jelas kelemahan organisasi utama Dunia Islam. Kesemua permasalahan terbabit tidak berjaya dan mampu ditangani dengan berkesan malah menampakkan lagi dengan jelas pertembungan sesama negara di kalangan Dunia Islam yang membawa identiti, agenda serta matlamat tersendiri. Organisasi – organisasi terbabit tidak mampu membawa suara Dunia Islam malah dilihat lemah serta tunduk dengan tekanan serta desakan musuh – musuh Islam.
Namun untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap organisasi besar Dunia Islam terbabit adalah tidak adil tetapi sebenarnya kesalahan patut diletakkan terhadap pemimpin utama Dunia Islam yang hanya menggunakan organisasi terbabit untuk agenda dan kepentingan mereka sahaja serta tunduk terhadap desakan dan tekanan musuh – musuh Islam.
Dunia Islam perlu sedar, perpecahan dan permusuhan sesama negara di kalangan Dunia Islam hanya merugikan semua pihak. Percaya kepada musuh Islam dan bersandarkan kepada mereka hanya akan merugikan semua pihak kerana telah terpahat dalam sejarah Islam, kegemilangan dan keagungan tamadun Islam berjaya diruntuhkan kerana konflik dan permusuhan sesama ummah dan Dunia Islam.
Penyatuan Dunia Islam Mendepani Cabaran Masakini.
Sampai masanya Dunia Islam memikirkan cabaran masa depan yang semakin sukar dan tidak memihak kepada Dunia Islam. KL Summit seharusnya dijadikan sebagai batu loncatan dan pemangkin dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan serta kesatuan Dunia Islam.
Dunia Islam harus sedar, ketika Almarhum Prof. Nejmuddin Erbakan mencetuskan idea D-8, Dunia Islam berada dalam keadaan cukup lemah. Ekonomi kebanyakkan negara Islam berada dalam keadaan lemah termasuk Turki di mana dunia ketika itu berdepan dengan kemelesatan ekonomi. Iran ketika itu berada dalam kepungan termasuk sekatan ekonomi. Pakistan pada masa itu tidak mempunyai senjata nuklear berada dalam keadaan terancam akibat terlalu kerap berlaku pertembungan degan India.
Ketika ini Dunia Islam berhadapan dengan “ sumpahan “ IslamophobIa yang tidak mampu dibendung. Banyak negara Islam ekonominya berada dalam keadaan lemah dan melalui konflik dalam tempoh yang panjang, yang meranapkan negara mereka. Umat Islam terancam di negara mereka sendiri sebagai minoriti dan banyak permasalahan yang tidak mampu diselesaikan dalam keadaan Dunia Islam kacau bilau dan bersikap mementingkan diri sendiri.
Maka dalam keadaan yang sama sekarang melanda Dunia Islam sebagaimana ketika dicetuskan D-8 dahulu, KL Summit diharap mampu menjadi pemangkin dan kesinambungan D-8 dalam usaha untuk menyatupadukan serta mengembalikan kegemilangan Dunia Islam. Amat wajar negara – negara di kalangan Dunia Islam menyokong agenda KL Summit serta menyemarakkan kembali agenda D-8 demi untuk masa depan Dunia Islam. Dunia Islam harus bingkas bangun dan sedar dari lamunan bahawa Islam, Dunia Islam dan umatnya sedang terancam dan diancam. Apakah bila sampai hampir terhapus Dunia Islam baharu hendak bingkas bangkit dan membetulkan keadaan?
Kekuatan Islam berpaksikan kepada hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama ummah. Lemah salah satu atau kedua – keduanya sekali mengambarkan bahawa umat dan Dunia Islam sudah terpesong dari ajaran Islam yang sebenar. Keadaan sekarang jelas menunjukkan bahawa hubungan dengan Allah SWT dan sesama ummah berada dalam keadaan lemah dan tidak berpandukan ajaran Islam yang sebenar. Usah kita biar ia runtuh baru bingkas bangun untuk membetulkan keadaan kerana ia sudah terlambat.
Sebelum terlambat, marilah direalisasikan penyatuan ummah baik dari sudut ekonomi, politik dan kesinabungan Dunia islam. Umpama pepatah Melayu ada menyebut ;
Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing.
Insyaallah, Dunia Islam mampu bangkit dan gemilang kembali.
YB Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hal Ehwal Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Burok.




























