KHIDMAT Dungun Jalin Kerjasama Pasca Banjir

149

DUNGUN – KHIDMAT (Pengurusan Kecemasan Bencana) Malaysia Dungun telah menjalinkan kerjasama dengan Majlis Perbandaran Dungun (MPD) untuk membantu kerja-kerja pasca banjir peringkat daerah.

Timbalan Yang Dipertua PAS Dungun, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani berkata, persepakatan itu diambil hasil daripada kunjungan PAS Kawasan Dungun ke pejabat MPD semalam.

“Memandangkan KHIDMAT adalah badan bukan kerajaan(NGO) yang sudah tentu tidak mempunyai kekuatan logistik iaitu dari segi jentera, lori, ‘pump jet’ dan pelbagai lagi peralatan untuk kerja-kerja pasca banjir,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang mengetuai rombongan tersebut gembira dengan respon yang cukup baik dari pihak MPD yang menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Yang Dipertua MPD, Mohd Rashdan Muda, Setiausaha PAS Dungun, Abdul Hamid Ismail, AJK PAS Dungun, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik, Setiausaha KHIDMAT Malaysia Dungun,
Mohd Asahari Zahid dan Komandan Jabatan Amal Malaysia(JAM) Dungun, Tarmizi Hilmi Mohamad Zuber.

“Kerjasama yang cukup baik daripada MPD dan kita mengucapkan terima kasih diatas kepekaan dan kesediaan MPD memberi pertolongan dan kerjasama kepada KHIDMAT Malaysia Dungun,

“mereka akan membantu dengan jentera yang ada di MPD, tetapi secara spesifiknya MPD lebih mudah untuk membantu semasa pasca banjir dari sudut alatnya sebab semasa banjir, urusan banjir diuruskan oleh Pejabat Daerah Dungun,” jelasnya.