KUALA TERENGGANU – Pemimpin kanan Hamas Khalil Al-Hayya (Gambar) menasihati para pemuda Islam Terengganu agar berusaha mempertingkatkan ilmu dan kematangan untuk mewarisi kepimpinan negeri pada masa akan datang.
“Belajarlah sehingga boleh memimpin. Negeri ini adalah negeri Islam, maka pelajarilah Islam sebagai asas dan pengkhususan bidang lain akan datang selepasnya,” ujarnya
Beliau berkata demikian, ketika berucap dalam Sidang DUN Belia Terengganu Penggal Pertama di Wisma Darul Iman, semalam.
Anggota Majlis Perundangan Palestin Kota Gaza itu dalam rangka lawatan sehari ke negeri Terengganu.
Bersama beliau ialah Pengerusi Palestinian Muslim Scholar (cawangan Asia Tenggara) Ahid Abu Ata dan jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri.
Khalil turut menghargai keyakinan, dan mengcapkan terima kasih, dengan sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia terhadap pejuangan Palestin.
“Kami begitu yakin umat ini khususnya rakyat Malaysia sentiasa bersama kami untuk memastikan Palestin dibebaskan,” tegasnya.
Beliau turut menyarankan agar diwujudkan satu jawatankuasa Palestin dalam setiap negeri dan negara umat Islam supaya terus dapat memberi kekuatan kepada perjuangan.
“Kami ingin memberi pesanan kepada Malaysia yang mementingkan Islam, bahawa kami begitu berbangga dengan keIslaman anda.
“Kami menghargai Malaysia dan semua di sini. Kami ingin menyampaikan berita gembira bahawa kami akan memastikan penjajahan kami berakhir,” katanya.
Khalil, dipilih untuk Majlis Perundangan Palestin pada 25 Januari 2006 sebagai wakil Kota Gaza. Dia tinggal di kawasan kejiranan Shuja’iyya.









