Khairunnisa’ Mahu Wujudkan Usahawan Muslimat Berpusat

2375

KUALA TERENGGANU – Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa’) bercadang untuk mewujudkan usahawan muslimat berpusat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusinya, Tuan Faizah Tuan Abd Rahman berkata, antara usaha yang diambil ialah mengadakan dan memperbaharui bengkel-bengkel jahitan di seluuruh negeri Terengganu.

Beliau berkata, setiap hasil jahitan akan dikumpulkan dan diletakkan pada satu tempat pengumpulan produk sebelum di pasarkan ke serata negeri oleh Pegawai Pemasaran yang dilantik.

“Setelah PAS mengambil alih pemerintahan Terengganu kami (Khairunnisa’) kembali aktif dan ada perancangan yang telah kita rangka yang di laksanakan untuk kebajikan masyarakat,

“dan salah satu kerangka program yang kita cuba laksanakan sesi ini adalah usahawan berpusat yang mana bengkel jahitan adalah satu daripada rancangan yang kita cuba laksanakanlah,

“serta kita akan fokus beberapa produk yang senang di pasarkan contohnya telekung dan pakaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Khairunnisa’ di kediaman Seri Iman pada Khamis, 31 Mei.

Katanya, persatuan Khairunnisa’ yang kini dengan keahliannya 50 orang akan mengenal pasti dan permohonan akan dibuka bagi orang yang betul-betul berminat menjayakan program yang akan dilaksanakan.

“Sekarang ini PAS memegang tampuk pemerintahan negeri Terengganu jadi Persatuan Khairunnisa’ boleh memainkan peranan dengan turun ke DUN dan kawasan dalam masyarakat,

“untuk melaksanaan program bagi membantu dan melancarkan wawasan kerajaan yang baru,” ujarnya.

Turut hadir sama Timbalan Pengerusi Khairunnisa’ Tuan Roslina Tuan Sulaiman dan Setiausahanya Hajah Zarani Othman.