MELAKA – Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Melaka lebih mantap berbanding di Negeri Sembilan dan Johor dalam usaha memperkukuh perpaduan ummah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 esok.
Menurutnya, persefahaman yang semakin kukuh itu tidak dibina atas semangat perkauman sempit, sebaliknya bertujuan menegakkan keadilan untuk semua rakyat di bawah kepimpinan Melayu Islam yang adil.
“Alhamdulillah, kerjasama di Melaka lebih mantap daripada Negeri Sembilan dan Johor. Makin hari makin meningkat untuk perpaduan umat, bukan di atas nama perkauman Melayu, tetapi untuk adil kepada semua.
“Insya-Allah kemantapan di Melaka ini lebih menaik lagi sehingga peringkat Pilihan Raya Umum (PRU) yang sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ceramah Pentas Grand Finale PRN Melaka BN dan PN di Dewan Muallim Abdul Wahid, Bukit Katil, malam tadi.
Mengulas kemungkinan berlakunya pembubaran Parlimen sekiranya gabungan BN dan PN meraih kemenangan besar dalam PRN kali ini, Abdul Hadi menegaskan perkara tersebut terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.
“Itu terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri. Cuma ia boleh bertukar kerajaan sementara (caretaker government) sahaja, bukannya sebagai satu pihak yang ada kuasa lagi,” jelasnya.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan esok sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka Ke-16 melibatkan kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan seramai 687,697 pemilih berdaftar serta penugasan 11,175 petugas bagi melancarkan proses pilihan raya.
Ustaz Abdul Hadi turut mengingatkan masyarakat agar menunaikan tanggungjawab keluar mengundi esok demi menjamin kestabilan politik serta memelihara keharmonian hidup rakyat berbilang kaum.









