Oleh : Dzakaria Mohd Salleh
Foto : Hidayah Azlin
SETIU – Pendekatan kepimpinan PAS menjalin kerjasama dengan UMNO dalam situasi politik negara sekarang harus difahami oleh semua ahli dan penyokong kerana ia mengikut kaedah Fiqah Islam.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik berkata, anggota parti harus percaya kepada pemimpin terhadap sebarang keputusan yang dibuat dan tidak terpengaruh dengan sebarang persepsi.
Menurutnya kepimpinan telah mengambil apa jua pendekatan politik berdasarkan kepada ilmu, hujah Al-Quran, Hadis, Ijmak Ulama, Qias, Usul Fiqh yang perlu difahami oleh semua.
“Kita berpegang pada perinsipnya ialah berdasarkan kaedah fekah, jangan kamu tinggalkan benda yang sudah jelas kebaikkannya di sebabkan takut kepada kemudharatan yang belum pasti akan berlaku.
“Percayalah (bila beceramah sepentas) apabila pemimpin UMNO bercakap ucapannya tidak mampu mempengaruhi ahli PAS, tetapi bila pemimpin PAS bercakap ucapannya mampu mengubah hati ahli UMNO menjadi ahli PAS,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Setiu kali ke 41 di Guntung Luar pada 30 Mac.
Justeru beliau mengingatkan ahli PAS agar terus melazimi majlis ilmu dan pengetahuan serta turut serta dalam program tarbiyyah yang dianjurkan.
Tegasnya, politik bukan Tasawuf dan tidak termasuk dalam bidang Tauhid namun ianya adalah Fekah yang berubah kepada keadaan.
“Hukum berubah biasa, kan politik ini Fekah, politik ini bukan Tasawuf, bukan termasuk dalam bidang Tauhid, politik ini ialah siasah (Fekah politik).
“Dalam Fekah cuba cerita mana dia hukum yang tidak berubah? Hukum ini untuk manusia, manusia ini hidup, hidupnya ada perubahan. Bila berubah satu keadaan berubah satu hukum. Ulama kita mengambil kaedah-kaedah ini bukan dia reka sendiri, pimpinan PAS mengambil kaedah ini.
“Bila berubah keadaan akan berubah hukum. Hukum itu berubah mengikut keperluan dan keadaan.” ujarnya.
Ustaz Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat berkata, kerjasama yang dijalin berdasarkan kepada kebajikan dan taqwa merupakan ancaman paling besar kepada masa hadapan PH dan mampu mengubah lanskap politik tanah air dalam masa terdekat dan PRU ke-15 nanti.
“Pentas Penyatuan Ummah ini merupakan perkara yang sangat menakutkan mereka. Mereka susah hati, dia (PH) sudah terbayang bagaimana kerajaan sepenggal yang akan dilalui mereka.” tambah beliau
Sementera itu, Mesyuarat tersebut telah memilih YB Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir (Ahli Parlimen Setiu) dan YB Dr. Azman Ibrahim (Exco Pertanian,Asas Tani & Pembangunan Desa negeri) diberi kepercayaan untuk terus memimpin PAS Kawasan sebagai Yang DiPertua (YDP) dan Timbalan YDP.










