Kerja Kebajikan PAS Menyempurnakan Tanggungjawab

1751

HULU TERENGGANU – Usaha murni melalui kebajikan merupakan suatu penyempurnaan tanggungjawab PAS sebagai sebuah parti gerakan dakwah, tarbiyah dan siasah

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata PAS bergerak untuk menyantuni masyarakat dan bukan bersaing dengan mana-mana pihak.

“Matlamat kita (PAS) untuk melihat anggota masyarakat yang memerlukan bantuan disantuni dengan sebaiknya.

“Kebajikan bermakna kita mempermudahkan urusan saudara kita yang dalam kesempitan sedaya yang kita mampu,” jelasnya ketika merasmikan Program ‘Supper’(Makan Lewat Malam) Skuad Cakna Masyarakat SCM) Hulu Terengganu di Kampung Pauh, Jenagor, di sini, pada Isnin 30 Oktober.

Beliau yang juga Anggota Badan Perhubungan PAS Terengganu berkata, SCM berjaya menembusi tembok pemisah sempadan politik melalui kerja-kerja kebajikannya.

“Masyarakat umum di sini (Hulu Terengganu) semakin berjaya kita dekati mereka dengan Islam melalui lapangan kebajikan yang kita (PAS) buat ini.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Skuad Cakna Masyarakat Hulu Terengganu yang semakin sinonim dengan masyarakat sekitarnya dalam mempelopori gerak kerja kebajikan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Pengerusi Skuad Cakna Masyarakat HuluTerengganu, Mat Safari Abu berkata program ‘makan malam’ itu diadakan dengan matlamat bagi mengumpulkan dana membiayai program-program kebajikan sepanjang tahun.

“Setiap tahun pelbagai aktiviti kebajikan akan dilaksanakan termasuk bantuan dalam kes-kes kecemasan seperti banjir, kebakaran, mangsa ribut dan sebagainya.

“Melalui dana kebajikan yang disediakan itu, rakyat yang ditimpa musibah atau bencana akan segera dibantu oleh PAS, Insya’Allah,” jelasnya ketika berucap pada majlis tersebut.

Bersempena dengan program itu, Dr Azman turut merasmikan sebuah kenderaan rasmi SCM serta menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Harun dan Setiausaha Lajnah Kebajikan PAS Terengganu, Abdul Hadi Mohamad.