KUALA TERENGGANU – PAS akan memperkenalkan Kerajaan Teknokrat iaitu sebuah kerajaan yang bukan hanya dianggotai oleh wakil rakyat semata-mata sebaliknya disertai para ilmuan dan pakar dalam bidang masing-masing secara lantikan.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Terengganu bakal menjadi negeri perintis pelaksanaan kerajaan Teknokrat sekiranya parti itu diberi mandat memerintah negeri ini pada PRU14.
“Teknokrat adalah kerajaan dianggotai bukan saja wakil rakyat tapi termasuklah pakar-pakar dan ahli-ahli tertentu yang boleh dilantik.
“Bagi peringkat negeri, kita pinda perlembagaan negeri Terengganu dulu. Jika tidak ada calon bukan Islam dipilih boleh dilantik bukan Islam, begitu juga wanita sekiranya tidak ada kita boleh lantik dari kalangan muslimat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu PRU14 yang diadakan di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang, Khamis malam 19 April.
Beliau berkata, konsep itu sama dengan proses lantikan Senator di peringkat Dewan Rakyat namun Ahli Dewan Rakyat itu selama ini dipilih berdasarkan calon yang kalah dalam pilihanraya atau individu mempunyai masalah dengan BN.
Berbeza dengan Kerajaan Teknokrat akan dibawa oleh PAS yang akan melantik individu mempunyai kebolehan bidang tertentu agar kepakaran itu boleh digunakan untuk membantu menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.
Atas dasar itu, Pas mengambil inisiatif mengetengahkan kesemua 40 calonnya adalah kombinasi golongan profesional (22 peratus), pengajian Islam (60 peratus) manakala selebihnya adalah usahawan yang berjaya dalam bidang masing-masing.
Ditanya mengenai kerjasama Pas dengan parti lain, Abdul Hadi menegaskan bahawa parti itu memperkenalkan gagasan yang ditunjukkan oleh Islam melalui konsep ‘taawun’ iaitu menjalinkan kerjasama hanya dalam perkara baik.
“Kita tidak bekerjasama kepada perkara tidak baik. Ini mewujudkan demokrasi tenang yang tidak menimbulkan ketegangan.
“Kita tidak mahu perbezaan pendapat hingga menimbulkan kekacauan dalam negara, cukuplah apa yang berlaku di negara Arab, negara Islam lain di mana kita tidak selesaikan secara demokrasi beradab hingga menimbulkan kekacauan dan campur tangan asing dalam negara, ini kita tidak benarkan.
“Kita boleh berbeza pendapat tapi jangan berkelahi, berperang..ini pendekatan kita mahu perkenal,” katanya.










