Kerajaan Sedia Bantu Pembedahan Adik Damia

3677

Oleh : Shahril Aswad

HULU TERENGGANU – Kerajaan negeri bersedia membantu menguruskan kos rawatan pembedahan adik Damia Irsalina Daeng Malis, 11 tahun dari Kuala Telemong yang menderita kesakitan akibat tulang belakang bengkok.

Akibat dari permasalahan ini, tulang belakang adik Damia telah memberi tekanan kepada paru-parunya yang mungkin lama-kelamaan akan menyukarkannya untuk bernafas.

Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Haji Muhyiddin Abdul Rashid berkata, pihaknya telah mengkaji permasalahan Adik Damia dan berusaha sedaya usaha mencari jalan untuk membantu menampung kos pembedahan tulang belakang yang melibatkan kos sebanyak RM25 ribu itu.

“Saya telah merujuk Tabung Darul Iman samada tabung dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Adik Damia.

“Walaubagaimanapun, saya dimaklumkan bahawa kedua ibu bapa Damia adalah penjawat awam dan telah memohon ‘Guarantee Letter’ dari pihak kerajaan untuk menanggung kos,” katanya ketika melawat adik Damia di kediamannya di Kuala Telemong, hari ini.

Justeru itu, Muhyidin berkata beliau telah berbincang dengan Tabung Darul Iman berkenaan perkara ini dan mereka memberi jaminan jika permohonan surat jaminan (guarantee letter) itu tidak berjaya, kerajaan negeri melalui Tabung Darul Iman memberi jaminan akan menanggung kos tersebut sepenuhnya.

“Kita akan membantu sedaya upaya dalam apa jua cara dan berdoa semoga pembedahan adik Damia ini berjalan lancar tanpa ada gangguan dari segi kewangan ataupun kesihatan,” Katanya lagi.

Ketika lawatan tersebut, Muhyidin turut menyampaikan sumbangan orang ramai melalui Skuad Cakna Masyarakat Hulu Terengganu kepada adik Damia.

Turut hadir Ustaz Kamaruzaman Abdullah, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS), Saudara Mohd Safari Abu, Pegawai Penyelaras Dun Telemong dan Skuad Cakna Masyarakat Hulu Terengganu.