Kerajaan PAS Terengganu Yakin Capai Sasaran Bina 60, 000 Rumah

392

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030), yakin dapat mencapai sasaran membina 60,000 unit rumah menjelang tahun 2030.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Dr. Alias Razak berkata, setakat ini pelan tersebut masih berjalan mengikut perancangan dan mudah-mudahan ianya berjaya direalisasikan.

“Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, kita berjaya mengadakan majlis penyerahan kunci kepada pembeli perumahan Padang Setenge.

“Saya ucapkan tahniah kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) atas usaha yang dilakukan selama ini sehingga berjaya menyiapkan projek ini secara keseluruhannya.” Ujarnya dalam satu kenyaaan media semalam.

Menurutnya, pembinaan fasa 3 dan fasa 4 bagi projek tersebut telah bermula pada awal tahun 2010 dan telah memakan masa yang agak lama iaitu melebihi dua belas tahun yang sepatutnya siap dalam masa 36 bulan iaitu pada tahun 2013.

“Disebabkan beberapa masalah, pemaju terdahulu hanya menyiapkan sebahagian rumah di fasa 3 dan fasa 4 sebelum ditamatkan perjanjian usahasama dengan pemaju terdahulu

“Kos bagi menyiapkan projek terbengkalai ini mencecah hampir RM 8.0 juta yang menggunakan peruntukan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) bagi menyiapkan 234 unit rumah di fasa 3 dan fasa 4. Keluasan rumah berkenaan adalah seluas 944.50 kaki persegi,” jelasnya

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar Negeri berkata, semasa pengurusan LTAWNT mengambil alih pembinaan projek ini, 123 unit rumah di fasa 3 telah hampir siap dibina dan 110 unit rumah di Fasa 4 telah mengalami banyak kerosakan dan struktur bumbung yang runtuh dan tidak selama didiami kerana telah terbengkalai.

Pengurusan LTAWNT, katanya, telah melantik pihak Sumai Enggineering Sdn Bhd selaku pemaju penyelamat bagi menyiapkan projek terbengkalai ini sejak April 2019.

“Tindakan menyelamatkan projek ini telah diambil seawal 2018 lagi, namun kita mengalami masalah apabila kes ini dibawa ke mahkamah kerana berlaku perselisihan antara pemaju dan kontraktor.

“Setelah proses di mahkamah selesai, barulah kita berjaya mengambil alih pada tahun 2019. Pengurusan LTAWNT mengambil pendekatan menyiapkan projek terbengkalai ini dan akhirnya pada Julai 2022, CCC bagi projek ini telah diperolehi.

“Pengurusan LTAWNT bersetuju mengekalkan harga asal jualan rumah kepada pembeli-pembeli sediada yang telah membuat bayaran deposit kepada pemaju terdahulu.” tambah beliau

Justeru katanya, projek tersebut merupakan satu lagi perlaksanaan terhadap manifesto PAS pada PRU14 yang lalu, iaitu bagi menyediakan 20,000 unit rumah mampu milik bagi rakyat negeri.

Oleh itu katanya, secara keseluruhannya dengan mengambil kira semua projek yang sedang berjalan dan juga yang telah selesai, kita sudah berjaya mencapai sasaran 20,000 tersebut.