Kerajaan PAS Terengganu Selesaikan Masalah Lesen Nelayan Sampan

143

DUNGUN – Kerajaan Negeri Terengganu telah berjaya menyelesaikan masalah lesen nelayan sampan yang telah dibekukan sejak 40 tahun lalu.

Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu(BPPNT), Dr. Azman Ibrahim menjelaskan, isu lesen Nelayan diselesaikan 100 peratus dan tiada lagi nelayan Terengganu yang tidak berlesen.

“Kecualilah ada yang tidak mahu mengisi borang, kerana tidak percaya isu lesen nelayan boleh diselesaikan dan kerajaan hanya berbohong, kita nak buat macam mana,

” bila nelayan pantai, nelayan sampan tiada lesen, mereka tidak layak mendapat minyak bersubsidi dan tidak layak untuk mendapat bantuan apabila berlaku sebarang bencana,ini yang akan berlaku, ” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Jabi berkata demikian ketika berucap di Program Melabuhkan Tukun Tiruan Konservasi Di Perairan Paka, Dungun Serta Penyerahan Bantuan Peralatan Kepada Nelayan Pantai Daerah Dungun di Kompleks LKIM di sini.

Di majlis penyerahan yang dilakukan sebelum berlepas ke Perairan Paka untuk melabuhkan tukun, seramai 46 orang penerima di Daerah Dungun menerima bantuan tersebut.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya II, PAS Terengganu, Dato Ustaz Saiful Bahri Mamat, Pengarah Majlis Tindakan DUN(MTD) Rantau Abang, Cikgu Alias Harun, Pengarah MTD Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik dan Pengarah MTD Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman.

Menurut Pengarah MTD Jabi itu lagi, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM300, 000 pada 2022 melalui Pejabat Perikanan Negeri Terengganu untuk perolehan bantuan ‘Touch Point’ kepada nelayan pesisir pantai dalam bentuk pukat tangsi, ‘fish finder’, ‘tool box’ dan kawat bubu yang diserahkan kepada 367 orang penerima di seluruh daerah.

Seorang penerima, Tuan Mustafa Tuan Abdullah, 64 yang sudah 30 tahun menjadi nelayan bubu bersyukur dengan bantuan kawat bubu yang diterimanya.

“Boleh sokmo bantuan kerajaan beri, ikut kita mintaklah,” katanya yang membuat bubu bersama empat orang anaknya di Kampung Pulau Serai.

Manakala Wan Abdul Rahman Wan Zainal Abidin, 54 yang menerima ‘tool box’ gembira dapat mengurangkan perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkannya.

” Saya nelayan pantai, macam – macam caralah tangkap ikan, kadang tu saya memancing, kadang tu saya memukat, jadi mudahlah untuk simpan peralatan mancing, ” katanya yang ditemui selepas majlis tersebut.