Kerajaan Malaysia Digesa Bantu Kembalikan Keamanan Di Syria .

1872
Dr. Suhazeli Abdullah

KUALA NERUS – Kerajaan Malaysia digesa membantu mengembalikan keamanan di Syria yang berada di dalam kancah peperangan yang berlarutan sekian lama.

Ketua delegasi Iman Care, Dr. Suhazeli Abdullah berharap kerajaan yang baharu memerintah  mengambil satu inisiatif politik untuk membantu menyelesaikan krisis yang berlaku.

“Walaupun  mungkin agak  kebelakang sikit dan insya Allah  dengan adanya kerajaan baharu dalam negara kita dan di Terengganu kita sendiri,  boleh  memberi satu inisiatif dari sudut  politik  untuk membantu mereka mengembalikan  semula  keamanan di sana,” jelas Dr. Suhazeli.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada 20 Oktober bersama Delegasi  Bantuan Kemanusiaan Pelarian Syria Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan(NGO).

“Insya Allah  saya rasa  dengan kehadiran kita di sana kita boleh dapat maklumat  yang perlu untuk kita bawa balik  kepada pimpinan yang berada dalam negeri ini  untuk  membantu mereka dari segi politik”, terangnya lagi.

Menurut doktor pakar keluarga itu, tahun ini adalah tahun yang keenam, bantuan misi kemanusiaan pada musim sejuk ke Syria yang melibatkan 14 NGO dan bantuan  adalah dalam bentuk barangan, selimut,  baju sejuk dan juga sedikit perubatan,

” Jadi  biasanya  musim sejuk mencecah sehingga kosong ‘degree’, sekarang  ini  baharu 16, 17  tapi  apabila masuk bulan Disember dia akan masuk  sampai  ‘zero degree’ sehinggakan mereka  berada  dalam paras beku dan mereka tidak boleh bergerak jauh”, ujar beliau.

Justeru itu, katanya , pemanas amat diperlukan di khemah mereka disamping selimut dan baju yang tebal  serta pemakanan.

“Sebab  bila  musim sejuk tak dapat keluar mencari nafkah, ‘so’ makanan harian yang kita  bekalkan kepada mereka untuk  menuju musim sejuk  di sempadan  tiga atau empat bulan  yang dilaporkan setiap tahun”, terangnya.

Beliau berkata,   lebih kurang RM370 000, berjaya dikumpulkan dan akan disampaikan kepada mereka.

“Kita bawa duit  itu dan sebahagian telah kita hantar  persediaan mereka  bersama Cansuyu, NGO  rakan kita yang berada  di sana”, ceritanya lagi.

Selain itu tambahnya, mereka juga turut mengunjungi  sekolah-sekolah anak  yatim dan tahfiz.

” Sebelum ini kita sudah pergi  buat lawatan  dan mengikut keperluan kita akan sampai juga  bantuan yang sama,” ujarnya.

Beliau seterusnya memberitahu, ‘mini simposium’ akan juga diadakan untuk pelarian Syria.

“Ini bagi kita  mengambil ‘angle’ atau penjuru-penjuru yang lain,   insya Allah  boleh membantu mereka pada masa akan datang”, katanya lagi.

Dan akhir sekali, jelas beliau, mereka  akan bertemu dengan beberapa NGO yang berada  di Turki yang juga melayani dan menyantuni pelarian-pelarian di Gaza.

“Gabungan daripada NGO kita,  Iman Care dan NGO yang berada  di  Turki yang  ada hubungan di Gaza, insya Allah  kita membantu”, terang beliau.