Kerajaan Madani Disaran Matang Dan ‘Non-Partisan’

239

Kerajaan Madani pimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim disaran agar lebih matang dan melaksanakan tindakan tidak memihak atau ‘non-partisan’.

Naib Presiden PAS, YAB Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dengan tidak menyebelahi mana-mana parti politik dapat mengelakkan rakyat menjadi mangsa.

Menurutnya, inisiatif ‘non-partisan’ dan ‘bi-partisan’ adalah amat penting dalam menegakkan keadilan seiring dengan prinsip Perdana Menteri dan diamalkan di negara maju.

Katanya, sebilangan besar rakyat tidak menjadi ahli atau tidak terlibat pun dengan mana-mana parti politik yang berdaftar dalam negara kita.

“Sedangkan mereka juga adalah rakyat pembayar cukai yang turut sama menyumbang, kepada peningkatan sosio-ekonomi, pembangunan manusia dan fizikal, bahkan kesejahteraan hidup dalam negara kita ini.

“Bahkan, jika kita ahli-ahli politik tidak berubah menjadi matang mengikut zaman, rakyat akan meremehkan peranan politik dalam memimpin mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertempat di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA di sini, semalam.

Tambah Ahmad Samsuri, sekiranya berlaku kecapikan dalam hubungan antara sesama manusia pun, masyarakatlah yang merana.

“Apatah lagi hubungan antara kerajaan dengan kerajaan, yang sudah pasti akan mewujudkan suasana bingar, dan rakyatlah yang akan menanggung akibat dan sengsaranya.

“Rakyat di luar sana mengeluh dan mendengus, kerana keperluan serta kemahuan mereka adalah jelas iaitu mahukan penyelesaian kepada masalah kehidupan mereka,” ujarnya