Kerajaan negeri Terengganu akan melancarkan sebuah lagi anak syarikat yang diberi nama T’Hardware, yang memberi fokus kepada pembukaan rangkaian peruncitan dan pemborongan pembekalan barangan binaan dan perkakasan.
Sebelum ini telah ada rangkaian kedai T’Shoppe dan T’Café, juga merupakan rangkaian kedai milik Kerajaan Negeri yang prestasinya seakan ‘hidup segan, nampak macam nak mati’!
Persoalannya, dengan begitu banyak lagi peluang perniagaan berskala besar dengan modal jutaan ringgit yang boleh diceburi oleh anak-anak syarikat Kerajaan Negeri, kenapa mereka perlu bersaing dalam bidang peruncitan yang sepatutnya menjadi sumber ekonomi rakyat biasa.
Tak berapa bijak, kalau ayah berebut rezeki dengan anak sendiri, sedangkan ayah sebagaimana diumumkan, untuk permulaan sahaja, T’Hardware telah diperuntukkan antara RM200,000 dan RM1 juta untuk modal pusingan syarikat. Mana mungkin rakyat yang boleh diibaratkan sebagai anak dalam sebuah keluarga nak bersaing dengan kerajaan yang sepatutnya berperanan sebagai seorang ayah yang penyayang dalam hal ini.
Dalam konteks perniagaan runcit seperti ini, Kerajaan sepatutnya hanya berperanan untuk memastikan tidak berlaku monopoli perniagaan, konspirasi menentukan harga, persaingan berat sebelah dan lain-lain gejala tidak sihat dalam pasaran. Dengan kawalan dan penguatkuasaan yang adil dan berkualiti, rakyat akan mendapat peluang ekonomi yang seimbang, harga barangan dan perkhidmatan berkualiti dengan kos yang sepatutnya.
Pada masa yang sama juga, kerajaan pula boleh menumpukan kepada tanggungjawab mereka untuk menjaga keselamatan dan kebajikan rakyatnya.
Perkara-perkara yang berkaitan dengan keperluan asas dan sektor kebajikan tidak boleh dijadikan sumber untuk mencari keuntungan, sebaliknya ia termasuk dalam tanggungjawab asasi Kerajaan. Kerajaan tidak boleh ‘berniaga’ dengan rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab ini.
Kerana itulah, Lujnah Pengguna PAS Terengganu menyeru kepada Kerajaan Terengganu untuk menghindarkan sebarang bentuk ‘persaingan tidak sihat’ dengan rakyat sendiri dalam apa jua perancangan kegiatan ekonomi. Pelanduk dan gajah, adalah tak adil untuk bersaing walaupun ada ketikanya kecerdikan pelanduk mampu menundukkan sang gajah.
Ambillah iktibar dan buatlah koreksi yang sepatutnya di atas kegagalan T’Shoppe dan T’café sebelum ini kerana dana yang digunakan adalah dana awam atau duit rakyat!
Dr. Azman Ibrahim
Pengerusi Lujnah Pengguna
Badan Perhubungan PAS Terengganu









