Kerabat Terengganu Tidak Setuju

7936

KUALA TERENGGANU – Kerabat diRaja Terengganu yang memperjuangkan hak isu royalti minyak dan gas Terengganu, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah, tidak bersetuju jika hak royalti ditukarganti dengan ‘wang ehsan’ atau Dana Khas Persekutuan.

Beliau yang juga Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) menegaskan telah ada perjanjian royalti sebelum ini termasuk saksi-saksinya masih hidup.

Menurutnya, semua negeri-negeri di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak telah menandatangani Perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974.

“Saya memang tidak setuju (dengan) ‘wang ehsan’ kerana itu hak kita (rakyat). Perjanjian (Akta) ada, YM Tengku Razaliegh Hamzah ada, Tun (Mohd) Salleh Abas juga masih hidup lagi dan undang-undang hidup lagi.

“Kita boleh tanya dia (Tengku Razaliegh dan Tun Salleh Abas) apakah makna asal tujuan royalti itu. Diarahkan oleh Allahyarham Tun (Abdul) Razak, yang menggubal Undang-undang tersebut.

“Tidak perlukan wang ehsan atau apa-apa. Seolah-olah, kita bukan bersama-sama orang Malaysia,” jelasnya dalam sidang medianya pada Majlis Meraikan 80 Pelajar Tahfiz dan Anak-anak Yatim anjuran Malay College Old Boys Association Terengganu Chapter (MCOBA-TC) di Hotel Primula Resort, pada Rabu 6 Jun.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kerajaan Persekutuan yang baharu menggantikan Barisan Nasional (BN) boleh bekerjasama dengan kerajaan PAS Terengganu dan Kelantan.

Katanya, dengan pemberian semula hak mendapat royalti minyak dan gas bagi negeri Terengganu dan Kelantan, kebajikan rakyat akan lebih terjamin.

“Saya harap dengan adanya kerajaan Persekutuan (Pakatan Harapan) yang baharu ini dan juga PAS (Terengganu) dapat duduk semeja, berunding apa yang sepatutnya boleh kepada kerajaan PAS Terengganu ini.

“Saya harap kerajaan Pakatan Harapan berilah (hak royalti). Penduduk Terengganu ini 1.2 juta orang dan 96 peratus adalah orang Melayu Islam. Jika beri duit (royalti) itu kepada kerajaan PAS ini bolehlah dia (kerajaan) belanjakan duit itu kepada rakyat.

“Dalam hal ini, kita kurangkan ‘main’ politik. Jadilah beri wang ehsan tapi berikan hak royalti itu mengikut Perjanjian Akta Petroleum 1974 yang secara jelas sebut lima peratus,” jelasnya.

Tengku Ibrahim mendakwa semua pihak menyedari pendapatan besar negeri Terengganu adalah melalui hasil pengeluaran minyak dan gas 40 tahun lalu.

“Jangan kiralah lima peratus, 10 peratus, 15 peratus…tapi ambil yang lima peratus dahulu. Kita semua tahu bahawa negeri Terengganu ini pendapatan yang besarnya dari hasil pengeluaran minyak (royalti).

“Jadi apa yang penting, beri kepada kerajaan PAS. Sebab, kerajaan PAS ini dipilih oleh rakyat dan beri hak kepada dialah untuk uruskan negeri.

“Begitu juga dengan Pakatan Harapan dan semua orang terkejut Pakatan Harapan boleh pegang (perintah) Malaysia, tetapi itulah hakikatnya,” ujar Tengku Sri Paduka Raja.

Ketika ditanya, apakah nasihat beliau kepada kerajaan PAS Terengganu jika royalti itu dikembalikan semula kepada negeri seperti sebelum ‘dirampas’.

“Jika dapat royalti itu, harap kerajaan PAS Terengganu lebih tumpuan kepada golongan nelayan, petani dan golongan miskin berpendapatan rendah. Ada di kalangan mereka yang ‘kais pagi, makan pagi dan kais petang, makan petang’.

“Jika buat pembangunan besar untuk siapa? kerana golongan berada (senang) sahaja yang mampu beli. Utamakan rakyat miskin dalam banyak perkara.

“Saya kasihan kepada para nelayan kita, kehidupan mereka seolah-olah tidak ada kemajuan dan sentiasa susah,” jelasnya.

Menurutnya, royalti itu akan berterusan sampai bila-bila masa, sebab minyak itu kurnia dari Allah SWT kepada rakyat Terengganu.

Pembayaran royalti Terengganu telah dihentikan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad setelah PAS berjaya memerintah Terengganu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1999 lalu.