Kenapa Pengundi Kuala Besut Mesti Pilih PAS

1558

Part 1 – Kedudukan genting bagi Umno/BN ini dengan sendirinya akan menjadi faktor pendesak semulajadi untuk BN menunaikan janji-janjinya yang ditabur sepanjang kempen. Kita memaklumi ‘ketulusan’ Umno berkhidmat kepada rakyat adalah demi kelangsungan kuasa dan undi, projek-projek yang telah diletakkan batu asas sepanjang kempan PRK walaupun dikatakan perancangannya telah lama, cuma ‘kebetulan’ berlakunya kematian wakil rakyat, hakikatnya adalah ‘perletakkan batu asas pancing undi’.

CHELONG1

Perlaksanaannya? Belum tentu! Kalahnya BN dalam PRK Kuala Besut ini akan memberi kekuatan jaminan untuk rakyat Kuala Besut melihat tegak ‘sengoti’ Sekolah Kebangsaan Alor Peroi dan Rumah Pangsa Mampu Milik Tok Saboh sebagaimana dijanjikan, jika hal sebaliknya, menangnya BN akan menjadikan mereka selesa, lena tidur dan persetankan dengan segala janji-janji yang telah ditabur. Semaklah rekod-rekod perlaksanaan janji BN dalam beberapa siri PRK sebelum ini. Mudah kata, undi Pas di Kuala Besut, rakyat tak akan rugi apa-apa.

Tentunya ada yang tak bersetuju dengan pandangan di atas, sebaliknya berpendapat dengan 16:16, Kuala Besut akan mencatat sejarah baru! PR akan memerintah Terengganu. Nah! Ini pastinya lebih baik sebab ianya akan memberikan peluang kepada PR Terengganu melaksanakan janji-janji manifesto yang telah dibentangkan kepada rakyat.

Siapa yang tidak mahu masalah tanah diselesaikan, pinjaman Yayasan Terengganu dimansuhkan, bonus tahunan untuk warga emas yang tidak berpencen, cuti bergaji penuh 30 hari untuk kakitangan awam yang kematian suami, 17,000 peluang pekerjaan, pengecualian cukai pintu rumah kediaman, dasar merakyatkan ekonomi, bekalan air percuma bagi 20 meter padu dan beberapa lagi janji manifesto Pas Terengganu yang terhalang perlaksanaannya disebabkan angka 15:17. Seluruh pencinta keadilan dan kesaksamaan akan menyanjung tinggi dan berterima kasih kepada para pengundi Kuala Besut apabila anda menjadi perintis kepada perubahan ini.

Undilah Pas kerana terbukti BN gagal mengubah taraf hidup rakyat Kuala Besut. Dengan bajet tahunan Terengganu yang mencecah angka RM2 bilion, satu jumlah bajet yang tertinggi antara negeri-negeri di semenanjung, tetapi rata-rata rakyat Terengganu secara amnya dan Kuala Besut fokusnya masih dihimpit kemiskinan dan kemiskinan tegar khusunya rakyat di sekitar daerah mengundi Seberang Barat Luar dan Tok Saboh di Kuala Besut.

Masalah kemiskinan ini tidak akan selesai hanya dengan hanya perletakkan batu asas projek dan pengagihan anak ayam. Tambah mendukacitakan apabila MB memberi respon sinis terhadap isu kemiskinan ini dengan menuduh bahawa rumah-rumah buruk milik rakyat miskin adalah rumah orang Pas! Tidak timbul sebenarnya isu orang Pas atau Umno bila kita membincangkan berkenaan sosio-ekonomi rakyat apatah lagi seorang MB yang sepatutnya menjadi MB bagi rakyat dan negeri Terengganu, bukan MB untuk orang-orang Umno sahaja.

Isunya bagaimana kekayaan negeri boleh dimanfaatkan secara optimum supaya status negeri Terengganu sebagai negeri dengan bilangan rakyat miskin tegar yang kedua tertinggi di Malaysia mampu diubah. Dengan makna lain bagaimana sumber kekayaan ini boleh dinikmati oleh keseluruhan rakyat secara adil dan telus.

Calon Pas, Che Long mempunyai rekod kebersamaannya dengan penduduk setempat pada sebahagian besar tempoh hidupnya. Walaupun dicanangkan oleh tukang-tukang kempen BN calon Pas tak berpendidikan tinggi, beberapa kelebihan dan ‘aset’ semulajadi beliau perlu dipertimbangkan dengan adil oleh pengundi.

Berlatarbelakangkan seorang kontraktor kelas A serta usahawan setor kayu yang berjaya, seorang yang beragama dan terus tekun mendalami ilmu agama, Che Long dikenali sebagai insan dermawan yang suka membantu masyarakat. Kekayaan anugerah Ilahi kepadanya menerusi kejayaan usahaniaga tidak dihabiskan untuk diri dan keluarganya semata-mata. Hampir tidak ada program parti di sekitar Besut yang tidak menerima sumbangan Che Long. Jumlah masjid dan surau yang menerima sumbangan beliau juga sangat banyak.

Belum lagi termasuk sumbangan-sumbangan kebajikan yang lain. Beliau lahir di Kuala Besut, membesar di Kuala Besut, bersekolah di Kuala Besut atau istilah orang tempatan, sentiasa ‘bertumah’ di kampung sepanjang masa. Suka duka, susah senang, jatuh bangun masyarakat Kuala Besut adalah sebahagian dari kehidupan Che Long…

Part 2 – 16:16 akan memperkukuhkan lagi fungsi amar makruf nahi mungkar. Kerajaan yang baik memerlukan pembangkang yang kuat dan berkesan untuk fungsi ‘check and balance’. Keberkesanannya teguran dan pendedahan dari pembangkang terbukti berkesan dari tempoh kempen PRK ini lagi.

Contohnya, pendedahan PAS dalam isu kecuaian calon BN ketika berkhidmat sebagai Jurutera JPS Besut sehingga mengakibatkan rosaknya Empangan Pengkalan Nangka, natijahnya kira-kira 1,000 ekar tanah sawah yang menjadi punca rezeki 400 keluarga di empat buah kampung kering kontang. Kita meyakini isu ini sangat tepat dan benar sehingga tidak dapat ditangkis oleh kerajaan.

Akhirnya sebagai jawapan, semalam (sabtu 20 Julai 2013) Timbalan Perdana Menteri mengistiharkan peruntukan RM35 juta untuk pembinaan empangan baru Pengkalan Nangka. Samada peruntukan tersebut memang benar-benar wujud atau sekadar janji kosong, kita bersangka baik dahulu tetapi persoalannya kenapa baru istihar dalam kempen PRK sedangkan sudah lebih 3 musim ribuan ekar sawah tersebut terbiar? Kalau tiada PRK serta tanpa teguran dan pendedahan dari PAS, mungkin kerajaan akan terus senyap membisu dalam isu ini.

PAS perlu diberikan peluang untuk mencorakkan Kuala Besut menjadi ‘baldatun toyyibah warabbun ghafuur..’ bumi yang baik dengan mendapat keampunan Allah. Setelah sebegitu lama BN diberikan peluang untuk mewarnai Kuala Besut dengan warna dan corak pilihan mereka, tetapi terbukti statistik PDRM menunjukkan Kuala Besut adalah lokasi kadar jenayah yang tertinggi di Daerah Besut terutamanya jenayah harta benda, kekerasan dan narkotik.

Tentu sekali adik kakak kita di Kuala Besut merasa malu dengan fakta ini. Bumi Kuala Besut tempat orang baik-baik. Mana mungkin laporan mendedahkan, majoriti jenayah rogol di Besut berlaku di sini. Begitu juga tangkapan kes dadah. Kita tidak ingin menjadi juara dalam aspek sebegini. Faktornya pelbagai tetapi tentunya sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kepimpinan negeri dan setempat mesti mengambil saham yang terbesar dalam persoalan rumit ini. Kalau selepas lebih 50 tahun BN diberikan peluang, masalah jauh sekali dari selesai malah makin membarah, tak salah rasanya kalau PAS diberikan peluang untuk menyambung semula kerja-kerja yang telah dirintis dan dilaksanakan dengan baik dari tahun 1999 – 2004 dulu.

Semua memaklumi bahawa Umno merantai pengundi dengan ‘pitih’. Inilah candu terbaik yang menjadi senjata Umno/BN. Sejarah China ada ada mencatatkan kisah ‘Peperangan Candu’ di mana candu digunakan sebagai senjata untuk melemahkan musuh.

Bantuan sara hidup nelayan, BR1M, bantuan awal persekolahan, dana hari raya, bantuan JKM serta pelbagai lagi bentuk agihan tunai. Khabarnya untuk Kuala Besut, bantuan JKM untuk bulan Ogos telah siap diagihkan! Hebat sekali! Berubahkan taraf hidup rakyat? Tidak! Semua agihan tunai ini diistilahkan oleh masyarakat setempat sebagai ‘buleh habih’. Maknanya dapat dan dihabiskan dalam tempoh singkat sahaja. Kadang-kadang dalam masa sehari, semuanya licin.
Apakah segala bantuan ini mampu mengeluarkan masyarakat Kuala Besut yang rata-rata masih berada di bawah paras kemiskinan? Adik kakak di Kuala Besut yang masih boleh melihat, berfikir dan menilai mampu memberikan jawapan jujur dalam hal ini. Adik kakak ambillah apa yang dibagi kerana memang dia hak adik kakak semua dari pitih rakyat, bukannya harta pusaka tok nenek Umno. Cuma dengan ingatan, gunakanlah kebijaksanaan kita untuk makan umpan tanpa telan mata kail sekaligus.

Kalau menang Pas sekalipun, adik kakak tetap akan dapat duit ini. Jangan takut dengan ugutan. Malah mungkin bila Umno merasa kedudukan mereka makin terancam, bantuan akan dinaikkan lagi. Untuk jangka panjang, kita memerlukan kerajaan yang mampu merancang dengan baik serta memanfaatkan bajet besar Negeri Terengganu yang mencecah RM 2 bilion untuk kita ubah taraf hidup kita bersama. Ayuh! Kita jadikan Kuala Besut permulaannya…