Oleh: Dr Azman Ibrahim
Dari aspek kebajikan, saya bersetuju dengan luahan Yang Dipertua Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Terengganu, Osman Mamat berhubung isu kenaikan barang keperluan harian dan makanan yang kini hangat diperkatakan.
Osman sebagaimana dipetik dari sebuah akhbar harian menegaskan, orang ramai tidak wajar menghukum peniaga semata-mata kerana mereka mendapat bahan mentah daripada pembekal dan menjualnya pada harga sesuai dengan modal yang dikeluarkan.
Apabila Yang Dipertua bercakap bagi pihak Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Terengganu, maka kita memahami bahawa beliau cuma meluahkan hakikat sebenar kehidupan rakyat biasa yang mencari rezeki ‘samah seriyal’ sebagai peniaga dan penjaja kecil bagi menanggung keluarga.
Selalunya peniaga kecil seperti mereka akan tersepit seperti mentimun di dalam sandwich. Sebelum sesuatu barangan seperti sayuran atau buah-buahan sampai ke tangan mereka untuk dipasarkan, hakikatnya barangan tersebut telah melalui 2 atau 3 lapis pembekal dengan setiap lapisan akan mengaut beberapa peratus keuntungan.
Akhirnya mereka memiliki barangan untuk dipasarkan dengan harga yang telah sedia tinggi. Di pasar, sebagaimana biasa seorang pengguna tentunya inginkan barangan dengan harga yang paling murah kerana mereka juga tersepit dengan peningkatan kos hidup. Adat berniaga, apabila menjual pastinya sedikit keuntungan dicari. Belum lagi dikira risiko barangan yang dibeli tak habis dijual, akhirnya rosak dan terpaksa dibuang begitu sahaja.


Sebab itulah saya bagi pihak Lujnah Kebajikan PAS Terengganu sangat-sangat bersimpati dengan luahan Yang Dipertua Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Terengganu ini. Dalam masa yang sama, simpati kita juga kepada pengguna yang turut menjadi mangsa.
Tetapi malangnya kerana kita memiliki pemimpin yang suka dengan ungkapan-ungkapan bodoh seperti;
“Bila minyak naik, orang kampung tak perlu risau sebab mereka cuma pakai Honda Cup.”
“Tol naik, orang kampung tak guna lebuhraya bertol.”
“Lektrik naik, orang kampung yang guna lektrik tak sampai RM70 sebulan tak akan terlibat.”
“Mana ada negara yang semakin maju, harga barangan tak naik?”
Cuba kita renungkan fenomena sebuah keluarga dengan 3 orang anak lelaki di sekolah rendah, setiap pagi akan dibekalkan dengan nasi bungkus RM3 sebungkus ditambah dengan duit belanja RM2 seorang.
Saya berfikir dari hati kecil orang kampung dengan pendapatan yang tak menentu. ‘Belum cerah tanah lagi’ RM15 perlu disediakan setiap hari. Semasa cuti SPM dulu, saya pernah cuba sekejap kerja buat rumah batu. Gajinya RM16 sehari. Merenung hakikat ini, saya rasa sebak.
Perhatikan juga senario seorang ketua keluarga yang berpendapatan rendah atau sederhana, mereka perlu mengambil kira paling minima setiap bulan keperluan wajib antaranya, bayaran sewa atau ansuran bulanan rumah kediaman, peruntukan ansuran kenderaan, duit minyak dan servis kenderaan, belanja keperluan dapur serta makan minum, duit perbelanjaan sekolah anak-anak, bil lektrik dan air juga gas memasak, pakaian, kos perubatan dan kesihatan, bayaran tol untuk mereka yang berkenaan, saman trafik dan pelbagai lagi yang tentunya memberikan tekanan emosi yang mampu menggugat keharmonian kehidupan. Apatah lagi kalau hidup di bandar dengan setiap keperluan perlu dibeli.
Situasi yang sangat biasa berlaku sekarang lantaran disebabkan desakan hidup, bagaimana seorang bapa terpaksa keluar meninggalkan rumah diawal pagi untuk mencari rezeki ketika anak-anak belum lagi terjaga dari tidur dan pulangnya pula menjelang lewat malam apabila anak-anak telah lena dibuai mimpi.
Ketiadaan masa berkualiti bersama keluarga akan melahirkan anak-anak yang terabai, ketandusan kasih sayang, rapuhnya institusi keluarga sehingga akhirnya mewujudkan generasi anak-anak yang sarat dengan gejala sosial. Apatah lagi untuk meluangkan masa dengan masyarakat dan persekitaran.
Tekanan hidup yang dibantu oleh faktor nipisnya iman di dada juga boleh mengundang pecah amanah, penyelewengan, rasuah dan pelbagai lagi perlakuan yang menyalahi syariat dan undang-undang.
Bermakna, peningkatan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga barangan, jangan sesekali hanya dipandang dari sudut berapa sen kenaikan harga gula, petrol, gas memasak, minyak masak, tarif lektrik dan sebagainya, tetapi impaknya perlu diteliti secara menyeluruh dan saksama kepada kehidupan seorang insan sebagai individu, keluarga, masyarakat dan negara. Inilah dia antara aspek kebajikan yang diteliti oleh Islam. Bukan kebajikan dengan makna welfare mengikut istilah barat.
Di negara maju yang lain, bila ekonomi negara bermasalah, kerajaan akan potong perbelanjaan yang tak diperlukan, bukannya menjadikan rakyat sebagai mangsa. Kita yang belum maju tetapi bercita-cita untuk maju pula sebaliknya, bila negara tak ada duit, rakyat yang ditekan dengan pelbagai alasan lapuk sedangkan pemimpin bermewahan. Rakyat pula dikelirukan dengan tiada lagi istilah kenaikan harga barangan itu dan ini, yang ada hanyalah pelarasan subsidi!
*** Dr Azman adalah Pengerusi Lujnah Kebajikan PAS Terengganu. Beliau boleh dihubungi melalu e mail: drazmanibrahim@gmail.com
atau Fb: https://www.facebook.com/drazman.ibrahim





























