Jejak langkah pejuang terdahulu adalah satu khazanah mahal yang perlu didokumentasikan buat tatapan generasi mendatang. Apatah lagi dengan ketabahan mereka melalui onak dan duri perjuangan maka kita yang mewarisi perjuangan pada hari ini dapat memetik buah-buah yang ditinggalkan mereka. Para pejuang tak minta dikenang. Mereka telah pergi meninggalkan keharuman jasa yang semerbak wangiannya setelah membuktikan kebenaran janji mereka kepada Allah.
Allahyarham Dato Ustaz Haji Abu Bakar Chik adalah salah seorang dari pemimpin, murabbi dan teman seperjuangan yang telah pergi meninggalkan kita lebih setahun yang lalu. Begitu jauh jejak langkah perjalanan yang telah beliau lalui dengan segala liku dan duri dalam perjalanan.
Saya adalah salah seorang ‘anak’ yang bertuah kerana berkesempatan untuk berada dekat dengan almarhum pergi ke serata tempat dalam negara. Mengendalikan pelbagai program dan tugasan parti. Sama-sama tidur atas kereta di hentian rehat lebuhraya. Ada ketikanya kami pernah berdiskusi tanpa tidur sepanjang malam ketika menunggu penerbangan di Terminal Tambang Murah LCCT. Beliaulah yang selalu meletakkan saya di hadapan supaya saya kenal pimpinan-pimpinan parti. Malah pernah beliau marahkan saya dalam satu Program Ijtima PAS Terengganu kerana tak hadir makan tengah hari bersama tetamu sebaliknya beratur untuk mendapatkan nasi bungkus di khemah peserta.
“Enta kena mari sini, duduk sekali dengan pimpinan.” Saya ketika itu yang hanya berjawatan AJK PAS Kawasan terasa tak layak untuk duduk sebaris dngan pimpinan.
Suatu malam ketika jarum jam menunjukkan puku 11 malam, telefon bimbit saya bersering. Terpapar nombor Almarhum pada skrin.
“Assalamualaikum ustaz…”
“Waalaikum mussalam doktor…” suaranya Almarhum kedengaran ramah. “Doktor apa khabar?” “Alhamdulillah… Ana sihat.”
“Begini doktor… Esok pukul 9 pagi ada satu persidangan tentang konflik Bangladesh di Pulau Pinang. Ana dah berjanji nak hadir. Tapi ada masyaqqah tak dapat hadir. Boleh tak enta hadir bagi pihak ana?”
“InsyaAllah… Ana hadir!” Jawab saya tanpa berfikir panjang.
“Jazaakallah doktor.” Ceria kedengaran suara Almarhum dengan kesanggupan saya.
Lantas saya yang sebenarnya bersiap untuk tidur bangun semula, memasukkan sehelai dua pakaian ke dalam beg lalu memandu seorang diri dari Kota Bharu ke Pulau Pinang sepanjang malam agar sempat sampai pada jam 9 pagi ke tempat persidangan.
Suatu malam ketika kami dalam perjalanan balik dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu melalui jalan Gua Musang, saya yang biasanya mengantuk memandu diwaktu malam tetapi pada malam tersebut menjadi ‘cerah mata’. Almarhum yang berada di sebelah saya tak henti-henti berceloteh tentang pelbagai kisah-kisah perjuangan. Saya menyampuk sekali sekala. Memasuki sempadan Pahang – Kelantan barulah Almarhum tertidur dan saya terus memandu. Kami singgah solat subuh di Masjid berhampiran Felda Chiku, Gua Musang. Tanpa sempat mandi pagi kami teruskan perjalanan ke Kota Bharu. Almarhum menawarkan diri untuk mengambil alih tugas memandu tapi saya tak benarkan walaupun sebenarnya tenaga saya hanya bersisa sedikit sahaja lagi.
“Kat mana kita nak minum air pagi ni?” Tanya Almarhum.
“Kita singgah di Ketereh, makan nasik kerabu daging bakar.” Jawab saya.
Sampai depan kedai nasik kerabu almarhum berseloroh, “kita ni belum mandi, lulus ke nak masuk kedai?”
“Hahaha… Setakat kedai nasik kerabu tak dok masalah. Kalu nak masuk restoran di hotel memang dok lulus!”
Saya mengenali Almarhum sebagai seorang pimpinan yang sentiasa membuka peluang untuk generasi muda naik ke atas dan mengmbil alih baton perjuangan. Malah beliau yang banyak memperkenalkan anak muda seperti saya kepada pimpinan kanan dalam parti. Saya sangat-sangat menghargai semua kesempatan ini. Tanpa beliau mungkin sekarang saya tak berada di tapuk ini.
Antara yang perlu diketahui oleh anak-anak muda kini ialah bagaimana pemimpin serta murabbi yang berjasa ini pernah menjadi buruan kerakusan sang penguasa ketika Operasi Lalang sehingga membawanya meninggalkan keluarga dan tanahair untuk beliau berlindung ke Selatan Thailand.
Untuk menyelami kembali segala jerit perih yang telah dilalui beliau dalam perjalanan dan kehidupan di Selatan Thai ketika tempoh tersebut, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) menganjurkan satu Jaulah Tarbawi Media ‘Kembara Istiqamah: Jejak Berduri Seorang Murabbi’.
Ianya merupakan suatu Kembara Pengkisahan Perjalanan alMarhum Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik, Ketika Diburu Pemerintah Operasi Lalang berrsama Balu al-Marhum Ustazah Zaiton Salleh dan Teman Seperjuangan YB Hj Mohd Abdul Wahid Endut bermula dari Kuala Terengganu ke Narathiwat Selatan Thai pada tarikh 3, 4 dan 5hb September, 2015.
Akan disertai oleh seramai 40 orang peserta, kembara ini juga akan menemui beberapa orang rakan Allahyarham di Selatan Thai yang pernah berjasa memberikan perlindungan dan bantuan ketika Allahyarham menumpang tinggal di sana. Tentunya ia akan menjadi satu kembara yang penuh memori dan menyentuh hati. Saya yang mencoretkan secebis pengalaman ini bersama Allahyarham terasa kabur pandangan pada skrin tablet lantaran air jernih yang mengalir membasahi pipi. Terasa segalanya seolah baru semalam berlalu walau Almarhum sebenarnya telah pergi meninggalkan kita lebih setahun yang lalu.
Dr Azman Ibrahim
Pengerusi KAMI
Merangkap AJK Badan Perhubungan PAS Terengganu










