MARANG – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yakin jika momentum gerak kerja parti dapat diteruskan, parti itu akan berjaya menawan kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan.
Ini kerana, kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari bahawa PAS telah berjaya menguasai tiga Dun dan Parlimen Marang.
“Dun Pengkalan Berangan ini menjadi satu-satunya Dun yang tak berjaya kita (PAS) tawan pada PRU13 yang lalu.
“Momentum untuk kita (PAS) kekalkan Parlimen Marang. Mengekalkan Dun-Dun yang telah kita menangi iaitu Dun Alor Limbat, Dun Bukit Payung, Dun Rhu Rendang dan Insya’Allah, kita merampas semula Dun Pengkalan Berangan.
“Seterusnya meneruskan momentum kemaraan PAS ke Wisma Darul Iman, Insya’Allah,” tegasnya ketika berucap pada Himpunan Anak Muda Marang (HIKAM) 2.0 di Kampung Padang Mengkuang, Batu 10, Pengkalan Berangan, di sini, pada Khamis 1 Februari.
HIKAM 2.0 telah dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dengan beberapa gimik oleh anggota Jabatan Amal Marang dan Pemuda PAS Marang.
Ustaz Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan menjelaskan bahawa Parlimen Marang sangat istimewa kerana diwakili oleh presiden parti yang menjadi tunggak kekuatan PAS.
“Maka, menjadi suatu cabaran kepada kita (PAS) untuk kita mengekalkan kemenangan di parlimen (Marang) ini dan jangan sesekali membiarkan selain dari bendera bulan tegak berdiri selepas PRU14 nanti, Insya’Allah.
“Sama ada bendera itu berwarna biru (Barisan Nasional) mahu pun berwarna oren (Parti Amanah Negara). Insya’Allah, kita (PAS) akan hanyutkan ke Laut China Selatan,” ujarnya disambut laungan takbir hadirin.
Menurutnya, momentum pertambahan kerusi PAS berlaku pada setiap kali pilihan raya sejak tahun 2004 hingga 2013.
“Jika tahun 2004, PAS Terengganu ini menang dengan empat kerusi Dun. Tahun 2008, kita (PAS) menang lapan kerusi Dun. Tahun 2013, kita (Pakatan Rakyat) menang 15 kerusi Dun.
“Maka, tak pelik tahun 2018 ini jika momentum berjaya diteruskan, Insya’Allah, yang akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu baharu ialah Adun dari PAS,” tegasnya.
Beliau menaruh keyakinan bahawa rakyat Terengganu sedia menerima perubahan bagi menukar kerajaan Umno-BN yang lemah dan korupsi.










