Kekalkan momentum BERSIH 2.0

1063
Sebahagian Jentera HALWA DUN Jabi yang hadir dalam program motivasi dan penyerahan watikah perlantikan petang semalam
Pengorbanan pimpinan dan sahabat-sahabat seperjuangan kita ketika Himpunan BERSIH 2.0 baru-baru ini mesti kita pastikan tidak tersia. Ada yang meninggal, ada yang patah kaki, ada yang dibelasah teruk, dimaki hamun, ditahan, disembur air kimia, diserang dengan gas pemedih mata. Ini adalah sebahagian dari keperitan dan pengorbanan yang telah dilalui oleh mereka yang hadir.
Walaupun sebahagian besar dari muslimat yang ada pada petang ini tidak bersama ke Kuala Lumpur pada tanggal 9 Julai lalu,  tetapi kita adalah sebahagian dari hasrat murni perjuangan mereka.
Inilah antara intipati ucapan yang saya lontarkan ketika program motivasi dan penyerahan watikah perlantikan kepada jentera HALWA Dun Jabi petang semalam.
Bohong kalau Najib dan juak-juaknya kata, peserta himpunan dilayan dengan baik sehingga mereka yang ditahan diperuntukkan kos makan mencecah RM25 seorang. Ada 9 orang peserta dari Setiu ditahan dengan 5 daripadanya sahabat-sahabat Jabi. Tanyalah pada mereka, apa yang dihidangkan? Nasi putih, anak ikan kembung goreng, sambal dan air sirap. Itu pun ramai yang hanya makan nasi berlauk sambal sahaja kerana anak ikan kembung tak mencukupi. Hidangan seperti itu, RM3 seorang dah cukup mahal. Sungguh lumayan keuntungan katering terlibat. Pastinya katerer juga kroni mereka yang berkuasa.
Saya berpendapat sebagaimana pendapat umum bahawa himpunan ini sangat berjaya! Selepas segala tekanan, ugutan, sekatan, pembohongan dan penangkapan, masih ramai hamba Allah yang berpendirian dan berprinsip yang sanggup mempersetankan semua itu untuk hadir. Stesen TV satellit Al Jazeera melaporkan seramai sekitar 100,000 manusia berhimpun, BBC News menganggarkan sekitar 120,000 manusia. Ketua Polis Negara yang menjadi boneka Umno memaklumkan cuma sekitar 6,000 orang hadir! Memang patutlah kalau Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar mencadangkan KPN dihantar ke kelas PASTI untuk belajar mengira semula.
Peniaga-peniaga yang saya kunjungi sehari sebelum himpunan rata-rata menyatakan bahawa mereka tidak bercadang untuk menutup perniagaan masing-masing pada 9 Julai tetapi mereka terpaksa menutupnya atas arahan pihak keselamatan, sedangkan bagi peniaga sendiri pengalaman 3 himpunan besar sebelum ini, BERSIH 2007, PPSMI dan ISA cukup untuk meyakinkan mereka bahawa segala tohmahan dan propaganda berkaitan ancaman huru-hara dan keselamatan hanyalah cerita dongeng. Bahkan keuntungan berlipat kali ganda bakal menanti mereka.
Kita mempunyai fakta meyakinkan, beberapa buah hotel di beberapa lokasi strategik juga dilarang dari menerima tetamu kecuali yang telah membuat tempahan awal walaupun maklumat dalaman memaklumkan sebenarnya masih terdapat banyak kekosongan bilik.
Jalan Raja Bot, Chow Kit pagi 9 Julai, tenang dan lengang
Suasana pagi 9 Julai sekitar KL seakan-akan suatu perintah berkurung sedang dikuatkuasakan. Lengang! Benarkah ini semua angkara ancaman huru-hara dan keselamatan ekoran dari Himpunan BERSIH atau lantaran over actions dari pihak keselamatan.
Muslimat mempunyai saham besar untuk mengekalkan momentum kebangkitan rakyat ini sehingga PRU 13 nanti. Lihatlah bagaimana rakyat Terengganu menunjukkan kesiap-siagaan untuk meraih kemenangan. Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi tangkapan BERSIH 2.0 dengan 313 orang yang mungkin mengambarkan jumlah penyertaan dari Terengganu walaupun kita belum memiliki angka rasmi. Kepulangan Tuan Guru Presiden dua hari selepasnya disambut sebagai Wira Rakyat oleh belasan ribu manusia di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Gambaran apakah semua ini?
Strategi telah dirangka dan semua kita telah maklum peranan dan tugas masing-masing. Culaan telah kita kemaskini dengan sehabis daya yang mampu dilakukan oleh pimpinan DUN. Angka target dan pengundi target yang menjadi sasaran juga telah dikemaskini. Cuma Muslimat dengan penuh semangat juang perlu bersedia untuk menerima arahan dan tugasan. Marilah kita melangkah dengan keberkatan dari Allah.