Keegoan Lim Guan Eng Semakin Memuncak

2015

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Tuduhan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini bahawa kerajaan Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangannya adalah tuduhan melampau dan tidak berasas. Ia memperlihatkan bahawa beliau hanya beremosi tatkala kerajaan Kelantan mahu meneruskan projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan inisiatif sendiri. Egonya tercabar ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek tersebut atas alasan kekangan kewangan namun mahu diteruskan pula oleh kerajaan PAS. Hatinya panas jika kerajaan PAS mampu meneruskan projek tersebut tanpa bantuan kerajaan pusat sedangkan kerajaan PH sendiri tidak tertanggung untuk meneruskannya.

Daripada fakta mana yang diperolehi oleh Lim Guan Eng ketika membuat tuduhan sedemikian? Jika begitu, bagaimana kakitangan awam kerajaan negeri mampu bertahan bertahun-tahun lamanya bekerja dengan kerajaan Kelantan jika kerajaan negeri itu tidak mampu membayar gaji mereka? Sudah tentu kerajaan negeri akan dilapor dan segala media memburukkan kerajaan Kelantan siang dan malam manakala kerajaan Kelantan akan didakwa oleh kakitangan terbabit.

Sebegitu besar kebencian dan dendam beliau terhadap PAS memang boleh di agak sejak lama dahulu. Kedegilan dan keangkuhan pemimpin sepertinya membuatkan siapa sahaja rakan Pakatan (dahulunya Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan) sukar berkolaborasi dengan partinya. Maka atas sebab itu, PAS terpaksa menarik diri daripada terus diperlekeh dan dihina oleh beliau dan DAP ketika di dalam PR dahulu. Atas sebab itu jugalah mana-mana parti yang bersekutu dengan DAP terpaksa menahan sabar kerana dominasi DAP yang mahu membolot semuanya.

Mungkin beliau merasa PAS tanpa Pakatan Harapan tidak akan ke mana-mana. Telahan beliau dan pemimpin sepertinya bahawa PAS akan kehilangan segala-galanya dalam PRU ke 14 tidak kesampaian apabila PAS mampu menang bergaya di Kelantan dan Terengganu. Bayangkan, hanya sebuah parti mampu memenangi dua buah negeri, sesuatu yang beliau dan rakan parti komponennya tidak mampu lakukan. Mungkin sebab itu beliau geram dan dendam berpanjangan.

Nampaknya, episod dendam kesumat Menteri Kewangan terhadap kerajaan Kelantan dan Terengganu akan terus berpanjangan. Bahkan, Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menyatakan bahawa pembayaran royalti 20 peratus milik Kelantan dan Terengganu akan tersekat. Kenyataannya bersandarkan kepada usaha DAP dilihat tidak menyokong hasrat kerajaan untuk membawa pembangunan saksama kepada lima negeri termasuk Kelantan dan Terengganu.

Mungkin inilah menteri yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri mendapat markah 40 hingga 50 peratus itu. Jika dipandang pada portofolio beliau nampak begitu gah, tetapi malangnya bermentaliti rendah. Ketika PM mengumumkan reformasi dalam kerajaan dan negara, nampaknya ada menteri kanan dalam kabinetnya yang masih meneruskan legasi lama peninggalan Barisan Nasional. Malangnya PM yang mendapat menteri kabinet yang tidak berjiwa negarawan dan masih bermentaliti pembangkang.

(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI)