Kecoh Bajet 2021, Siapa Yang Jahat?

239

Rasanya mungkin tidak keterlaluan jika kita meletakkan bajet 2021 inilah yang paling liat untuk dibentangkan bagi diluluskan. Pelbagai karenah yang mengocak ketenangan semua pihak. Atas banyak hal, ia tidak lebih sekadar mencari populariti dalam menguji kekuatan politik masing-masing. Tidak dilihat keihklasan dalam membangkang, sekadar menyerlahkan lagi sikap buruk sebenar mereka.

Najib dan Zahid dikatakan punca kepada pergolakan ini. Mereka dikatakan sanggup menyokong Anwar bagi mengenepikan Muhyiddin. Tetapi tidak semua orang menyukai Anwar. Maka berlakulah penentangan dari dalam Umno sendiri. Mereka sedar, Anwar dan DAP, tidak dapat dipisahkan kerana dari Umnolah dakwaan bahawa Anwar sanggup menjual negara dikeluarkan. Bukan mudah untuk dimaafkan.

CIA, ejen negara asing, liberal dan banyak lagi, ditambah dengan tuduhan liwat kepada Anwar yang sangat melekat dalam minda penyokong Umno. Adalah bukan perkara enteng untuk Najib dan Zahid mahu membawa penyokong mereka, berkerjasama dengan Anwar. Ahli Umno menentang, walaupun sebahagian kecil daripada mereka cuba menjadi pembantu Najib dan Zahid dalam misi ini, ia gagal.

Lalu mereka berdua mengelak isu ini daripada menjadi senjata makan diri dengan memperjuangkan wang KWSP. Asyraf Wajdi juga turut berpencak untuk rakyat. Mereka tidak mahu orang lain mendapat juga faedah daripada isu ini. Memaksa Menteri Kewangan menerima cadangan mereka, konon demi rakyat. Tegur YB Ahmad Fadhli Shaari, hal ini boleh dibincang, tidak perlu ugutan untuk menolak bajet.

Sayang, YB Pasir Mas pula diserang. Dalam hal ini, bukan kebenaran yang dicari, tetapi siapa yang banyak serangan, itulah pemenang. Salah atau tidak, tidak peduli. Akhirnya, YB Ahmad Maslan menyatakan isu KWSP boleh dibincangkan kemudian. Baharulah Najib mengatakan konon bahawa bajet perlu disokong kerana sudah terlewat untuk kerajaan mengubahnya, kalau ditolak. Najib ‘U-turn’ dengan bergaya.

Dalam kerancakan ini, ada yang meyakini bahawa Bajet 2021 akan berjaya ditolak oleh pembangkang. Menunggu dengan penuh debar seluruh rakyat Malaysia. Yang menyokong, berdoa supaya bajet diluluskan. Ia adalah lambang keaiban yang terbesar jika ditolak. Yang membangkang, tersenyum girang kerana janji sebahagian Ahli Parlimen yang dikatakan oleh Anwar, di pihak mereka.

Tiba waktu yang ditunggu-tunggu, hanya beberapa orang sahaja yang inginkan undian belah bahagi bagi menyokong atau menolak Bajet. Kurang daripada 15 orang, maka, Bajet 2021 diluluskan bagi bacaan kali pertama tanpa undi belah bahagi. Konon Anwar tidak mahu kelihatan bersama dengan Tun, jadi mereka semua duduk, cuba memalukan Tun yang berdiri, kurang 15 orang, termasuklah Pan yang juga kena tipu.

Berjanji lagi mereka kepada penyokong, ada lagi bacaan kedua dan ketiga yang akan mereka lawan. Ternyata kelesuan melanda mereka. Pada permulaan, ada undian, kemudian setelah penat dibodohkan, mereka akhirnya tidak lagi minta undian belah bahagi. Memang memenatkan jika kita mahu mempermainkan orang, tetapi diri sendiri dipermainkan. Akhirnya mereka kalah semua kepada kerajaan.

Menyedari kebencian Anwar kepadanya, Tun memainkan peranan sebagai balasan kepada tindak tanduk Anwar sebelum ini. Tun memanggil sidang akhbar bersama Kuli. Setelah cuba meyakinkan rakyat yang mereka ingin menjadikan Malaysia sebagai Harimau Asia semula, rakyat sudah dapat mengagak, ini tidak lebih semata-mata dongengan politik mereka. Tun kelihatan bersemangat dengan isu melibatkan Anwar.

Hakikat yang nyata ialah, Tun masih berkuasa dalam politik Malaysia. Anwar akan kehilangan rentak jika Tun masih ada, insyaallah. Najib dan Zahid dikatakan cuba bermain kayu tiga, bukan sahaja akan meranapkan kerjasama dengan PAS dan Bersatu, malahan bakal membawa Umno ke lembah kehancuran jika Anwar menjadi pilihan mereka. Nafilah macamana sekalipun, buat masa sekarang, DAP tetap akan mendapat faedah besar dari Anwar. Jadi bagaimana mahu bersama Anwar tetapi membuang DAP?

Perjalanan politikus Malaysia ini lebih kepada mahu melepaskan diri masing-masing. Umno, berpecah kepada beberapa kumpulan kerana ini. Yang baik dalam Umno mahu menjadikan Islam dan Melayu sebagai agenda utama, akan menghadapi masalah kerana pertikaian sesama mereka. DAP diam kerana mereka dibenci rakyat. Bersatu juga goyah dengan Umno. Ada orang PKR sudah muak dengan Anwar.

Bacaan kali ketiga, dengan dua kali undian dijalankan, mereka tetap kalah. Ini bukanlah babak yang menakjubkan. Yang menakjubkan dunia politik Malaysia, PAS pula tidak semena-mena digelar sebagai penderhaka disebalik keengganan pembangkang mendengar nasihat YDPA. Bertali arus serangan dilakukan tehadap PAS, ketika pimpinan mereka gagal menunaikan janji-janji menolak bajet.

Diserangnya MB Kedah, dikutuknya Exco PAS di Perak, dihinanya Presiden. Semua ini tidak lain bertujuan bagi mengalihkan isu kegagalan mereka. Anehnya semua yang dilakukan PAS, terbukti betul. PAS Perak diberikan dua jawatan Exco, Pulau Pinang mula mengendur dengan isu bekalan air dengan Kedah, ada pihak pula memohon maaf berkenaan tuduhan dalam isu perobohan kuil. Yang masih tegang, hanya Umno Terengganu, dengan pengisytiharan akan bertanding di semua kerusi dalam PRU 15 nanti.

Apa yang PAS Terengganu jawab? Melalui kenyataan Ketua Penerangan PAS Terengganu, PAS Terengganu akan menjaga hubungan MN dan PN. Apa lagi PAS Terengganu berikan sebagai balasan? Melaksanakan 90 peratus manifesto yang dijanjikan, memberikan semula tanah kepada mangsa rampasan tanah 2004 dahulu, mengurangkan hutang negeri dan banyak lagi. Dipuji oleh cendikiawan bahawa PAS Terengganu bekerja dengan senyap, kurang berpolitik, tetapi membuahkan hasil.

Hanya PAS amat berjaya dalam mengemudi. Menteri Alam Sekitar disebalik semua kegawatan politik ini, mendapat anugerah. Teringat kepada kutukan pembenci beliau ketika diangkat menjadi menteri dahulu. Inilah hasil penghinaan itu. Exco Terengganu juga menerima gelaran wira dalam pelancongan.

PAS membalas segala kebencian lawan dengan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. Kelantan 30 tahun, sifar kes penyelewengan. Kedah pula berjaya mengurangkan masalah perbelanjaan air. Menumpukan kepada kajian REE. Jelas PAS berkhidmat dengan cemerlang walaupun panahan fitnah tidak pernah kurang dihalakan kepada PAS. Dan hasilnya fitnah ini, PAS menerima hampir 16 ribu ahli baharu.

Lawan PAS cipta tajuk berita palsu, kemudian menyebarkannya, cuba memberikan gambaran jahat kepada PAS. Mahu menunjukkan rekod dosa PAS seperti rasuah, tiada. Lain-lain rekod buruk juga tiada. Maka fitnahlah yang paling baik untuk menjatuhkan PAS. Fitnah ini bagaikan dadah kepada mereka. Berguna untuk mereka mengkhayalkan impikan keindahan yang tidak pernah wujud dalam hidup mereka.

Apabila mereka sedar, keindahan itu hilang, maka diambil lagi dadah itu untuk mereka menafikan kehidupan sebenar mereka yang menyedihkan. Begitulah mereka memfitnah PAS. Mereka berilusi, percayakan bahawa PAS adalah sebuah parti yang buruk, tetapi tiada bukti. Maka fitnahlah yang menjadi bukti mereka, mereka-reka kejahatan PAS. Mereka ketagih akan suntikan fitnah itu. Mereka gagal menunjukkan kebaikan mereka, sebaliknya cuba memburukkan PAS pula, supaya tidak kelihatan baik.

Mohd Nasir Abdullah
16 Disember 2020