Oleh : Syazwana M. Zohir
Kuala Terengganu – Ameerah Terengganu mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak kerajaan yang seolah-oleh ‘memejamkan mata’ daripada mengenakan sebarang tindakan kepada aplikasi tidak bermoral, ‘Sugarbook’.
Pengarahnya Zuraida Mohd Noor berkata, membiarkan aplikasi tersebut tanpa tindakan adalah tanda kompas akhlak dan moral dalam negara sudah berubah arah.
“Galakan seharusnya diberikan kepada aplikasi laman sesawang mencari jodoh yang masih menghormati institusi kekeluargaan.
“Ruang pertemuan yang merendahkan nilai maruah dan merosakkan institusi kekeluargaan seharusnya dikecam dan diambil tindakan,” jelasnya dalam laman sosial facebook, pada hari ini.
Menurutnya, baru-baru ini tular di media sosial mengenai papan iklan gergasi di sekitar ibu kota, yang mempromosikan aplikasi tersebut sebelum ianya diturunkan oleh pihak berkuasa ekoran bantahan yang diterima.
“Walaupun iklannya sudah diturunkan, tiada tindakan susulan yang diambil untuk menghalang aplikasi terbabit dari terus diakses oleh masyarakat,” katanya.
Zuraida menambah, ‘Sugarbook’ adalah syarikat yang bertapak di Malaysia dan diasaskan dan pengguna terbesar aplikasi tersebut adalah rakyat di negara ini.




























