Kebajikan Guru PASTI Harus Dijaga

3608

Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN- Bagi memastikan Pusat Asuhan Tunas Islam terus relevan dan selari dengan pendidikan masa kini, kebajikan guru PASTI harus dijaga.

Ketua Pemuda PAS DUN Bukit Besi, Mohd Ridhuan Mohd Yusof berkata gaji guru pasti perlu dipertingkatkan.

“Didapati gaji guru-guru PASTI di DUN Bukit Besi masih lagi ditahap yang rendah,

“perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak tertentu di dalam PAS, naikkan gaji dengan kadar segera,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak UPDI pada Khamis, 4 Oktober ketika meninjau PASTI di seluruh DUN Bukit Besi serta menghulurkan sedikit sumbangan kepada pelajar PASTI yang dikategorikan dari keluarga yang miskin.

“Mereka (guru) telah lama berkhidmat dan telah memberikan ‘performance’ yang terbaik bagi memastikan sekolah PASTI sentiasa menjadi pilihan,

“apa salahnya jika dinaikkan gaji mereka, agar para guru ini terus bermotivasi dan menyuntik semangat untuk terus berkhidmat dan mengajar,” jelasnya.

Beliau yang juga Penyelaras PASTI DUN Bukit Besi turut melahirkan kekesalan kerana sumbangan yang disalurkan kepada PASTI berkurangan semenjak PAS menerajui kerajaan negeri.

“Mungkin mereka beranggapan bahawa PASTI sekarang telah mendapat dana atau imbuhan dari kerajaan negeri,

“sedangkan PASTI merupakan hak milik PAS yang sekian lama berjasa di dalam mengilangkan pelajar yang cerdas dan melahirkan pemimpin yang berwibawa mengikut lunas-lunas Islam,” ucapnya.