Ke Mana Pergi Hasil Minyak RM28 Bilion?

1068

Oleh : KAM

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu mempersoalkan hasil sumber royalti minyak dan gas yang pernah diperolehi sejak tahun 1978 hingga kini mencecah lebih RM28 bilion.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata Terengganu mempunyai sumber alam yang banyak terutama hasil minyak dan gas sejak dari tahun 1978.

Justeru, katanya sumber royalti minyak dan gas yang pernah dinikmati oleh negeri Terengganu mencecah lebih RM28 bilion.

IMG_20151101_153729Persoalannya, kata beliau sejauh manakah rakyat dan masyarakat di negeri ini benar-benar menikmati hasil yang diperolehi tersebut.

“Kita sedia maklum, negeri Terengganu ini Allah memberi nikmat sumber alam yang cukup banyak termasuk Petroleum.

“Tahun 1974, penemuan minyak di Terengganu dan 1978 kita (rakyat) telah mengecapi hasil dan sehingga hari ini tidak kurang dari RM28 bilion yang telah dikecapi oleh negeri Terengganu.

“Tetapi amat malangnya, Terengganu hari ini menduduki tangga ke-11 di kalangan negeri yang masih ramai miskin tegar,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Program Dialog Rakyat Bersama PAS di sebuah hotel, di sini, Sabtu 31 Oktober.

Dua orang ahli panel dialog iaitu Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Dekan Fakulti Tamadun Islam UTM, Profesor Dr Kamaruzaman Yusoff.

Menurutnya, sumber alam yang banyak tidak menjadi halangan tetapi berlaku krisis kepimpinan oleh parti kerajaan yang memerintah.

IMG_20151101_153832Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka menjelaskan setiap tahun Terengganu antara negeri yang besar belanjawannya.

Katanya, tahun 2014 sebanyak RM2.37 bilion bajet tahunan telah diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

“Bajet Terengganu setiap tahun banyak dan tahun lepas (2014) sahaja sebanyak RM2.37 bilion yang mengatasi negeri-negeri lain.

“Persoalannya, sejauh manakah bajet itu sampai kepada rakyat dan masyarakat di negeri ini,” soalnya dihadapan lebih 130 peserta dari hampir 40 buah NGO.

Pada majlis itu, Dato’ Seri Abdul Hadi berucap mengenai tajuk “Relevan Islam sepanjang zaman” dan Profesor Dr Kamaruzaman membawa tajuk “Halatuju politik rakyat negeri Terengganu”, manakala, Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah sebagai moderator dialog.