KAMI Sertai Delegasi ‘PAS Relief’ Ke Cox’s Bazaar

1571

Oleh KAM

KUALA LUMPUR: Penindasan, penderitaan dan pembunuhan terancang oleh junta tentera kerajaan Myanmar terhadap kaum Rohingya sejak beberapa dekad lalu dan kini semakin serius wajib ditangani segera.

Badan-badan dunia seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) harus bangkit dengan tegas bagi menangani nasib umat Islam Rohingya itu.

Dunia yang membela umat Islam itu seperti tertutup ‘pekak’ dan ‘membisu’ kerana mungkin sumber maklumat berita yang terhad serta kurang pedulinya.

Justeru itu, Kumpulan Aktivis Media Independent (KAMI) Terengganu terpanggil untuk membuat liputan secara langsung bersama dengan delegasi PASRelief dan Harakah ke Kem Pelarian Balokhali, Cox’s Bazaar, Bangladesh.

Misi bantuan dan kemanusiaan PAS itu turut disertai oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh dan Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor dari 9 hingga 13 Oktober ini.

Timbalan Pengerusi KAMI, Sazali Mohd Noor berkata KAMI Terengganu terpanggil untuk sama-sama mengambil tanggungjawab peduli Rohingya.

Sebelum ini, katanya dunia seolah-olah tertutup dari pendapat liputan sebenar tentang isu dan kezaliman kerajaan Myanmar terhadap etnik Muslim Rohingya.

“Ribuan umat Islam Rohingya dibunuh, diperkosa kaum wanitanya, dibakar rumah kediaman mereka dan dihalau dari kampung halaman.

“Dunia seolah tidak tahu ribuan etnik Muslim Rohingya tenggelam di laut dan mati lemas di sungai kerana diburu oleh tentera Myanmar yang tidak berperikemanusiaan itu,” ujarnya kepada Harakah.

Beliau antara tiga peserta rombongan khas anggota KAMI Terengganu yang akan membuat liputan secara langsung bersama media rasmi PAS dan Harakah.

Wartawan KAMI, Khalid Abdullah melahirkan rasa teruja kerana pertama kali ditugaskan membuat liputan berita di luar negara.

“Saya rasa teruja kerana ini pertama kali ditugaskan oleh KAMI untuk buat liputan berita di luar negara bergolak seperti ini.

“Saya akan cuba buat yang terbaik untuk tatapan dan pendedahan kepada dunia luar tentang penindasan dan kezaliman terhadap etnik Muslim Rohingya, Insya’Allah,” ujarnya.

Manakala, rakannya Jurugambar KAMI, Md. Syukri Mohamed juga berpendapat tugasan mengikut misi bantuan kemanusiaan Rohingya ini satu pengalaman baharu.

“KAMI akan buat yang terbaik, KAMI akan rakam gambar-gambar kesengsaraan yang sedang dihadapi oleh umat Islam Rohingya. Biarlah gambar yang membicarakan tentang keadaannya,” ujarnya seorang jurugambar profesional.

Menurutnya, dunia masih lagi tidak peka dan cakna terhadap nasib etnik Muslim Rohingya walaupun ribuan telah terkorban dan ratusan ribu menjadi pelarian.

Antara pimpinan PAS lain yang turut serta mengikuti delegasi itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Norazli Musa dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Jabar.