Kabinet ‘Balas Budi’

212

Sewaktu Tan Sri Muhyidin Yasin umumkan kabinetnya pada Mac 2020 yang lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa itu sebagai Presiden PKR menyifatkan ia sebagai ‘kabinet terdesak’. Hari ini saya sifatkan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebagai ‘kabinet balas budi’.

2. Kenapa begitu? Kerana rakyat tidak melihat satu tindakan yang pro aktif ke arah memastikan kabinet bersih dari sebarang tohmahan negatif apabila masih mengekalkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO yang pernah terpalit dengan tuduhan salah guna kuasa sekali pun telah ‘dibersihkan’ dengan tindakan dari Peguam Negara yang enggan meneruskan kes.

3. Betapa kelirunya pengamal undang-undang dengan tindakan ini sehingga Majlis Peguam sendiri memfailkan semakan kehakiman untuk menyemak kuasa dan keputusan Peguam Negara mengeluarkan perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkait kes dana Yayasan Akalbudi minggu lepas.

4. Namun dalam kabinet PMX ini, beliau terus dikekalkan. Tidak lain hanyalah kerana ia merupakan ‘kabinet balas budi’. Selain itu, tiada yang menarik melainkan hanya bertindak selepas setahun belajar dari kesilapan. Contohnya, pemisahan semula bidang kuasa alam sekitar dan air dengan tenaga. Ketika penggabungan kedua-dua bidang kuasa ini dibuat tahun lepas, AJK PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang juga bekas setiausaha politik Menteri KASA era Perikatan Nasional menulis bahawa ia merupakan langkah mundur ke belakang (lihat https://harakahdaily.net/…/gabungkan-kasa-dan-ketsa…/). Hari ini Alhamdulillah kerajaan bertindak memisahkan semula dua bidang kuasa ini setelah setahun belajar bahawa tindakan menggabungkan kedua-duanya ialah salah. Malangnya, mereka perlukan tempoh satu tahun untuk belajar, lebih perlahan dari tempoh untuk melatih seekor monyet memanjat pokok.

5. Begitu juga dengan tindakan menggugurkan Sivakumar dari jawatan Menteri. Ia satu tindakan yang bagus, dan ia telah disuarakan oleh PAS melalui Ketua Penerangannya pada 28 April 2023 (lihat : https://www.astroawani.com/…/pn-desak-sivakumar…) namun ketika itu kerajaan kononnya menyatakan bahawa Sivakumar tidak terbabit dengan isu integriti dan tidak boleh dikenakan tindakan kerana belum terbukti bersalah. Nah, hari ini apabila beliau digugurkan, adakah beliau terbukti didapati bersalah?

6. Lain-lain perkembangan tidak menarik untuk diulas selain meneruskan kebiasaan sahaja. Kabinet diperbesarkan walaupun dulunya disebut-sebut mengecilkan kabinet itu sebagai langkah penjimatan, nah sekarang adakah kerajaan mengambil langkah pembaziran? Hakikatnya, besar atau kecil kabinet berasaskan keperluan. Jika perlu besar, nah perbesarkanlah. Jika perlu kecil, perkecilkan. Tidak perlu mengaitkan dengan langkah pentadbiran-pentadbiran sebelum ini.

7. Dan akhirnya Perdana Menteri menyedari, perlu ada seorang menteri penuh untuk menjaga urusan kewangan negara. Walaupun Menteri Rafizi Ramli menyatakan individu paling sesuai untuk menjawat jawatan Menteri Kewangan ketika ini ialah Perdana Menteri sendiri, tentulah pandangan itu sudah berubah sekarang. Begitulah formula, ia boleh berubah dengan bertukarnya pembolehubah. Cuma sayang belum tiba masa Datuk Seri Ahmad Maslan menjawat jawatan Menteri Kewangan. Dalam senarai ‘balas budi’ ini, Ahmad Maslan tidak termasuk.

8. Teruskanlah bekerja, saya meramalkan, paling lama pun setahun lagi kabinet ini bakal dirombak semula.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

Ketua Penerangan PAS Pusat

12 Disember 2023