Jika PAS Lemah, Kenapa Serang?

2449

Oleh KAM

DUNGUN – PAS mempunyai kekuatan partinya tersendiri dan tidak lemah bersama Blok Gagasan Sejahtera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.

Justeru, kata Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan jika musuh politiknya melihat PAS lemah dan tidak kuat, kenapa sering kali menyerang parti itu.

Menurutnya, PAS mempunyai kekuatan parti tersendiri dengan keahlian berdaftar mencecah satu juta orang di seluruh negara.

Bahkan, kata beliau, PAS mempunyai cawangan parti yang banyak termasuk 195 kawasan dari 222 buah kawasan Parlimen di Malaysia.

“Mereka (musuh) mendakwa kita (PAS) lemah. Gagasan Sejahtera ini tidak kuat, tidak ada suatu impak kepada politik. Tetapi, mereka sentiasa menyerang PAS. Seolah-olah mereka mengatakan PAS tidak kuat tetapi mereka serang.

“Jika PAS tidak kuat kenapa serang lagi? Jika PAS ini tidak kuat, Gagasan Sejahtera tidak kuat, kenapa PAS ini jadi rebutan. Sehinggakan DAP sendiri dalam keadaan dia mengutuk (PAS) pun, sekejap-sekejap membuka peluang untuk bincang balik.

“Seolah-olah dia (DAP) ini tidak percaya, tidak yakin pada pendirian dia sendirilah tentang kekuatan PAS ini.

“Jadi bagi kita jelas, kita ada kekuatan kita sendiri dengan ahli kita (PAS) mencecah satu juta dan itu yang berdaftar, yang tidak mendaftar ramai lagi.

“Kita ada jentera, kita ada cawangan-cawangan dan kita ada kawasan di 195 kawasan Parlimen dari 222 kawasan Parlimen. Itu kekuatan kitalah, Insya’Allah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya selepas Ceramah Perdana Himpunan PAS Dungun (Himpun) 2.0, di Tapak Harap-PGU 3.2, kampong Pulau Serai, Dungun, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor, Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli, Pengerusi Lajnah Dakwah dan Kesenian PAS Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang, Cikgu Alias harun dan Adun Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik.