Jentera PAS Dari Intensif Kepada ‘Agresif’

1606

BESUT – Jentera pilihan raya (PR) PAS Terengganu telah bergerak secara intensif sejak setahun lalu dan kini sudah diaktifkan secara agresif.

“Secara intensifnya, kita boleh dikatakan (sejak) setahun yang lalu telahpun kita gerakkan (jentera) dan yang terakhirnya, sebelum daripada pembubaran (parlimen) lebih kurang sebulan, kita telah melancarkan apa yang dikatakan sebagai ‘countdown 100 hari’.

“Itulah bermulanya jentera PRU (secara agresif) seolah-olah PRU berlaku esok dan insyaAllah pembubaran yang berlaku ini, tidak menjadikan kita dalam keadaan tergamam apa-apa,” jelas Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Husain Awang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas persiapan PAS Terengganu dalam menghadapi (PR) Umum Kali Ke-14 yang akan diadakan pada 9 Mei bulan hadapan.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS itu berkata demikian ketika ditemui pada program Taujihat Pilihanraya anjuran PAS Kawasan Besut di Dewan Haji Salleh, Alur Lintang, pada 10 April.

Beliau juga menjelaskan bahawa tiada satupun kerusi samada DUN mahupun Parlimen, diminta kuotanya oleh parti-parti lain di dalam Gagasan Sejahtera untuk ditandingi.

Oleh itu, selaku parti tunggal mewakili Gagasan tersebut, beliau yakin prestasi semaua kawasan termasuk Besut, yang sekarang ini menunjukkan perubahan yang lebih positif berbanding tahun lalu.

“Dilihat bahawa jentera-jentera dikalangan anak-anak muda semakin rancak dan semakin bersemangat, dan memberikan satu gambaran bahawa harapan untuk berlakunya perubahan kepada Besut ini insyaAllah (akan berlaku),” ujar beliau, yakin.

Bekas Speaker DUN Terengganu itu juga menasihatkan agar semua tenaga kerja meningkatkan lagi keupayaan dan kerjasama, tidak lalai atau termakan dengan dakyah mahupun fitnah yang sedang tersebar dengan meluasnya ketika ini.

Katanya, semua petugas, ahli dan pengundi PAS, hendaklah mereka memberikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan PAS dalam mengharungi PRU ini, agar tidak mudah dipecahkan kesatuan yang ada oleh musuh.