Oleh: Zaton Abas
Kenangan bersama menelusuri ‘Jejak Berduri Seorang Murabbi’ iaitu alMarhum Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik dalam satu Jaulah Kembara Pengkisahan dari Kuala Terengganu ke Selatan Thailand, selama 3 hari 2 malam pada 3, 4 dan 5 September, begitu terkesan di dalam jiwa kecil ini.


Meski pun sedikit meletihkan, namun sepanjang perjalanan dan setiap pengkisahan yang diungkapkan oleh para peserta yang bersama dalam kembara itu, seolah-olah terasa alMarhum masih ada disisi untuk terus menjadi penyuluh setiap langkah-langkah perjuangan yang masih panjang.
Justeru, jalan perjuangan yang masih berliku untuk sama-sama menikmati kemenangan yang hakiki, kami baru tersedar dari leka yang sejenak, bahawa alMarhum telah pergi menjadi tetamu Allah dengan membawa kemanisan nikmat perjuangan yang dituai.


Di dalam catatan kehidupan ini, saya sempat bersama mengikuti juga menyelami, walaupun tidak seberapa seperti yang alMarhum perjuangkn sejak saya bergelar anak murid kepada Institut Berakan diawal tahun 1980an, sehinggalah alMarhum menawarkan saya untuk mengajar beberapa tahun di institusi yang diasaskan beliau dan rakan-rakanya.


Bermulalah ‘diari’ kehidupan dan di situlah telah meruntunnya hati ini untuk terus bersama alMarhum memandangkan disini juga tapak mula sebuah kehidupan yang sentiasa mengajar saya erti sebuah pengorbanan dan ukhhuwah penuh kasih sayang, yang sentiasa mekar mewangi di sisi sahabat-sahabat seperjuangan yang lain.


Mengungkap kembali jalur kenangan, setelah tidak bersama di Institut Berakan, namun setiap kali bersua dengan alMarhum di mana jua, beliau tetap menyapa dengan ramah dan sentiasa melemparkan senyuman diselang selikan tertawa yang begitu menghiburkan.


Di saat pemergian alMarhum, sempat saya menatap wajahnya yang ‘pergi selamanya’ beserta ukiran sebuah senyuman ….saya disapa oleh suara Kak Tun (To’ Puan Ustazah Zaitun Salleh).
“Ton………..Ustaz awak tak ada doh……,”ucapnya ringkas tapi itulah yang mengundang ribuan titisan manik mengalir deras sambil memohon kehadrat Allah.
Semoga roh alMarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan diredhaiNya…….aamin































