Jangan Permainkan Rakyat!

2097

Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu diberi peringatan supaya tidak mempermain dan mempersendakan rakyat yang dhaif dengan mengugut dan menyekat bantuan yang sepatutnya mereka terima.

Walaupun pemimpin parti itu mendakwa ia berlaku adil kepada semua pihak, namun realitinya dalam masyarakat adalah berbeza.

Ini kerana, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Cikgu Alias Harun, pihak kerajaan yang ada hari ini hanya mengutamakan ahli dan penyokong Umno-BN sahaja.

“Dia tengok warna pulak, warna gini, gini, warna ni, gini,” katanya ketika berucap merasmikan Unit Armalah (Ibu Tunggal PAS) DUN Rantau Abang di Dewan PASTI Gong Pasir di sini, pada Khamis 21 Disember.

Malah tambah Cikgu Alias lagi, peruntukan untuk ADUN PAS juga yang bernilai jutaan ringgit telah dinafikan, bahkan Umno melantik calon-calon yang kalah dan pemimpin mereka untuk menggunakan wang rakyat sewenang-wenangnya.

Sedangkan wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum kali ke-13 lalu, dikesampingkan.

“Ini suatu pengkhianatan, rakyat pilih, dia pilih sape, rakyat pilih si A dengan harapan si A boleh membantu sebahagian masalah yang berlaku” ,

“Tapi apa yang berlaku di tempat kita, Malaysia terutamanya di negeri Terengganu, kami diberi mandat oleh masyarakat dalam PRU 13, kami tidak diberi apa-apa peruntukan,” jelas Ketua Penerangan PAS Dungun itu, dengan nada kecewa.

Walau bagaimanapun, terang beliau lagi, PAS memilih golongan masyarakat yang kurang berkemampuan dan miskin, yang berkelayakan untuk diberi bantuan, dengan sumbangan daripada orang ramai.

“Tapi yang lain-lain, orang lain, saya tak mahu kata……..tetapi ketara berlaku banyak kebocoran, “ kata beliau sinis.

Akibatnya kata Pengarah Majlis Tindakan DUN(MTD) Rantau Abang itu, kerajaan telah berhutang hampir RM800 billion.

“Maknanya atas kita ni, tanggung hutang belaka, kita dok berhutang, kerajaan yang berhutang, kalau dia berhutang untuk memberi kebajikan kepada masyarakat, Alhamdulillah, tetapi tak sampai kepada rakyat, “ tegasnya.