Jangan Leka Dan Merasa Selesa

10

BESUT – Ahli PAS khususnya jentera pilihan raya parti diingatkan agar tidak leka atau terlalu selesa dengan kejayaan lalu, sebaliknya mengambil iktibar daripada sejarah kemerosotan pilihan raya terdahulu.

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Ustaz Haji Husain Awang menegaskan, keharmonian dan perpaduan adalah kunci kemenangan didamping mengelakkan sebarang perbalahan dalaman yang boleh mengundang kekalahan.

“Kita jangan terpedaya dengan angka yang pernah kita capai.

“Marilah kita ambil pengajaran daripada pengalaman yang kita lalui sepanjang kita berhadapan dengan pilihan raya,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan jentera pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, di sini semalam.

Oleh itu beliau menyeru seluruh saf kepimpinan semua peringkat, sentiasa bersedia dengan segenap keupayaan bagi mempertahankan mandat sedia ada

“sekali gus membawa aspirasi mengambil alih tampuk kepimpinan Putrajaya di peringkat Persekutuan.” ujarnya.

Beliau menambah, analisis politik semasa menjangkakan tiada mana-mana parti mampu membentuk kerajaan Persekutuan secara bersendirian pada PRU akan datang.

Justeru katanya, kestabilan strategi gabungan serta disiplin ketaatan anggota parti amat dituntut.

“Kerja kita sekarang bukan semata-mata nak mempertahankan kemenangan, malah demi untuk membina dan mengimplementasikan hasrat dan cita-cita kita, teguh memimpin negeri sekaligus teguh ke arah memimpin negara,” katanya lagi..

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Dr. Alias Abdul Razak, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu Dr. Wan Mad Sulaiman, dan Pengarah Majlis Tindakan DUN Jerteh Dr. Riduan Mohd Nor.