Ramai penentang tegar vaksin kongsi poster ringkas di atas. Begitulah kehidupan, apabila suka membaca dan kongsi perkara yang tak sahih, membentuk kefahaman senget sampai bila-bila.
Tuan-tuan sebelum kongsi tu bacalah dulu hingga habis, kenapa artikel dari akhbar tu tak dapat disiarkan oleh badan berwibawa.
Maklumat daripada The Epoch Times yang menyatakan “kanak-kanak tidak divaksinasi lebih sihat berbanding yang divaksinasi” adalah tidak tepat dan tidak disokong oleh kajian saintifik yang sahih.
Kajian tersebut tidak disiarkan secara rasmi kerana terdapat kelemahan utama seperti ;
– saiz sampel yang kecil,
– data hanya berdasarkan soal selidik ibu bapa tanpa rekod perubatan,
– ketidaktepatan metodologi, dan
– risiko berat sebelah yang tinggi.
Selain itu, kajian itu tidak lulus semakan pakar (peer review) yang merupakan piawaian penting dalam penyelidikan saintifik (Classen DJ, 2020; Glanz JM et al., 2011).
Sebaliknya, banyak kajian saintifik telah membuktikan bahawa kanak-kanak yang divaksinasi menunjukkan tahap kesihatan yang lebih baik dan lebih terlindung daripada penyakit berjangkit serius.
Kajian Schmitz (2011) dan laporan WHO (2025) menunjukkan penurunan ketara dalam penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin (VPD), yang membolehkan pengurangan kematian dan komplikasi serius. Kajian oleh Zhou et al. (2024) melaporkan imunisasi rutin mencegah berjuta-juta kes penyakit dan kematian pramatang.
Selain itu, vaksin campak membantu meningkatkan daya tahan imunologi jangka panjang (Nandi A, Shet A, 2020) dan vaksinasi secara amnya telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa sejak beberapa dekad lalu (Shattock AJ, 2024).
Kesimpulannya, vaksin terbukti meningkatkan tahap kesihatan dan melindungi kanak-kanak daripada pelbagai penyakit berjangkit berbahaya dengan data klinikal dan epidemiologi yang kukuh serta diterima secara meluas oleh komuniti perubatan global.
Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
20/9/2025
Rujukan:
▪️Classen DJ. 2020. Analysis of health outcomes in vaccinated and unvaccinated children: Developmental delays, asthma, ear infections and gastrointestinal disorders. Journal of Translational Science, 6(3), 1-8.
▪️Glanz JM, Newcomer SR, Daley MF, et al. 2011. Association between estimated cumulative vaccine antigen exposure through the first 23 months of life and non–vaccine-targeted infections from 24 through 47 months of age. JAMA, 305, 830-837.
▪️Schmitz R. 2011. Vaccination Status and Health in Children and Adolescents. Pediatrics Infect Dis J, 30(2), 97-102.
▪️WHO. 2025. Global childhood vaccination coverage holds steady, yet over 14 million infants remain unvaccinated. World Health Organization.
▪️Zhou F, Shefer A, Wenger J, et al. 2024. Health and economic benefits of routine childhood immunization in the United States. MMWR Morb Mortal Wkly Rep, 73(31), 1000-1005.
▪️Nandi A, Shet A. 2020. Why vaccines matter: understanding the broader health, economic, and child development benefits of routine vaccination. Vaccine, 38(35), 5743-5750.
▪️Shattock AJ. 2024. Contribution of vaccination to improved survival and health. Lancet Glob Health, 12(2), e134-e141.