KUALA TERENGGANU – Projek pembinaan semula Jambatan Pancur Merah, Setiu yang menelan kos RM4.95 juta akhirnya siap dibina selepas kerja bermula pada 20 November 2023, sekali gus menjadi penghubung utama masyarakat setempat dalam aspek ekonomi, pendidikan dan kesihatan.
Penyokong Setiausaha PAS Terengganu, Dato’ Hanafiah Bin Mat, berkata, jambatan ini bukan sahaja sebuah laluan fizikal tetapi simbol harapan baharu selepas bencana banjir besar penghujung 2022 merosakkan banyak infrastruktur negeri.
“Dengan adanya jambatan ini, rakyat Pancur dan kawasan sekitarnya dapat menikmati kelancaran perhubungan semula.
“Ia bukan sekadar struktur keluli dan konkrit, tetapi penyambung kehidupan serta pemangkin kemajuan masyarakat,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.
Menurut beliau, projek ini adalah sebahagian daripada tiga inisiatif utama kerajaan negeri melibatkan pembinaan semula jambatan di Jalan Durian Mentangau, Dungun, pembinaan jambatan baharu di Jalan Felcra Pancur Merah, Setiu dan perolehan aset Bailey Bridge sebagai persediaan menghadapi bencana di masa depan.
Tambahnya, penubuhan Pasukan Jambatan Bailey Negeri Terengganu oleh Jabatan Keraja Raya (JKR) dengan kekuatan 35 kakitangan terlatih turut membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan teknikal.
“Kerajaan negeri menekankan pembangunan infrastruktur yang inklusif, merangkumi kawasan luar bandar dan pedalaman agar rakyat mendapat manfaat sama rata,” ujarnya.
Justeru itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan projek ini, termasuk pegawai daerah, ahli-ahli Yang Berhormat, pihak JKR, kontraktor dan komuniti setempat.




























