Oleh :Nooreni Abu Bakar dan Asyraf Azhar
DUNGUN – PAS Dungun sentiasa berganding bahu bekerjasama dengan pentadbiran Pejabat Majlis Daerah dalam usaha mengembalikan kegemilangan Daerahnya yang kini hanya menjadi nostalgia.
Yang DiPertuanya, Wan Hassan Mohd Ramli melahirkan hasrat tersebut kerana banyak aspek yang perlu dilihat dan dibaiki bersama.
“Kita ingin kembalikan kegemilangan Dungun tersebut selepas kita ambil alih pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 baru-baru ini,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Dungun berkata demikian ketika dihubungi, pada semalam.


“Tetapi malangnya tiada promosi dilakukan untuk menjadikan Dungun sebagai tarikan pelancong, bermula dari Bukit Besi, Rantau Abang, Sura dan Paka punyai banyak produk pelancongan,” tambahnya lagi.
Sehubungan dengan itu, beliau turut berharap berkenaan dengan perumahan rakyat, Rumah Mampu Milik (RMM) dapat direalisasikan secepat mungkin.
” Untuk sektor belia dan sukan boleh diwujudkan idola anak muda yg berasal dari Dungun seperti Safawi Rasid, Azizul Hasni, Noor Quraataina Mamat dan Eddyna Nasuhar binti Zainal Abidin dan ramai lagi, adakan sesi santai atau aktiviti sekali,” cadangnya lagi.
Selain itu, beliau turut berharap agar mini stadium disegerakan pembinaannya sebagai inisiatif untuk memperhebatkan lagi aktiviti – aktiviti sukan di Daerah Dungun.
Seterusnya untuk melahirkan ramai lagi ahli-ahli sukan yang berasal dari daerah tersebut.
“Tumpuan di dalam sektor perindustrian, juga diharapkan diberikan penekanan, hidupkan kawasan Perindustrian di Batu Tujuh, agar sektor ini dapat berdaya maju dan mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Kita juga berharap tidak ada unsur sabotaj dari pegawai kerajaan kerana PAS mengamalkan politik terbuka,” jelas beliau.




























