Jalan Jebak Puyuh; 12 Pemilik Tanah Serahkan Laluan Percuma, Terima Kasih

2591

Saya ucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar dan isteri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, Ketua-Ketua Jabatan, Pengerusi-Pengerusi MPKK serta semua hadirin dan hadirat atas kehadiran ke Kg Jebak Puyuh Dun Jabi.

Jebak ialah nama satu perangkap yang digunakan untuk menangkap burung khususnya burung puyuh. Ada sejarah tersendiri yang menarik sehinggalah kampung ini dinamakan Jebak Puyuh.

Tak ramai orang yang tahu tentang kewujudan kampung ini walaupun ia sebenarnya sudah mula diterokai dan didiami sejak tahun 40 an lagi. Apatah lagi sehingga sebelum Januari 2019, tiada jalan masuk yang sempurna menghubungkan kampung ini dengan dunia luar. Apa yang mereka ada hanyalah jalan tanah merah yang berdebu dimusim kemarau dan becak berselut dimusim hujan.

Saya tak berminat untuk mengungkit kisah lepas kenapa sekitar 300 orang penduduk kampung ini dinafikan hak untuk mendapatkan kemudahan jalan yang paling asas. Menjadi tanggungjawab kita yang diberikan amanah kepimpinan negeri untuk memandang ke hadapan dan mencari jalan bagi menyelesaikan rintihan rakyat ini. Biarlah apa yang telah berlalu dijadikan sempadan dan pengalaman.

Hari pertama memasuki Wisma Darul Iman pada pertengahan Mei 2018, saya panggil pegawai untuk berbincang agenda Jalan Jebak Puyuh. Hasrat saya orang Jebak Puyuh mesti dapat jalan tar yang sempurna. Proses survey, buat kertas cadangan, surat menyurat serta perbincangan demi perbincangan berlaku. Walau prosesnya agak berliku, Allah memperrmudahkan urusan ini dan akhirnya kita akan berada di sini pada hari kelmarin dalam satu majlis yang akan kekal terpahat dalam ingatan rakyat Jabi khususnya penduduk Kampung Jebak Puyuh.

Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang meluluskan peruntukan hampir setengah juta ringgit, Pejabat Daerah Besut, Pusat Khidmat Adun Jabi, MPKK, kontraktor serta semua yang bekerja keras menjayakan projek ini. Ia bukan satu jalan yang panjang berpuluh km, tapi menyimpan satu sejarah yang panjang.

Terima kasih khusus kepada 12 orang pemilik tanah yang memberikan kebenaran untuk tanah mereka menjadi laluan jalan ini secara percuma. Semoga ia menjadi sedekah jariah yang berpanjangan.

Kepada Allah kita berserah segala urusan.

Dr Azman Ibrahim
ADUN Jabi
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa