Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN : Jabatan Amal atau lebih dikenali Unit Amal adalah produk Parti Islam SeMalaysia(PAS) yang amat dikenali, diharap menjadi penerus kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang, Cikgu Alias Harun berkata dengan kemahiran yang dipelajari akan mempertingkatkan lagi kemampuan Unit Amal untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat.


“Jadi hari ini, dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Dungun dapat menambahkan kemahiran kerja-kerja menyelamat di dalam air, ” ujar beliau.
Pengarah Majlis Tindakan DUN itu berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Taklimat dan Keselamatan Di Dalam Air di Kampung Pulau Serai di sini pada 10 November.


Cikgu Alias sedang ramah bermesra dengan peserta-peserta. “Moga ada lagi sessi pendedahan menyelamat terutama berkaitan kebakaran kepada Unit Amal oleh pihak Bomba, ” katanya sambil berterima kasih atas tunjuk ajar yang telah diberikan.
Seramai 21 peserta telah didedahkan pelbagai kemahiran iaitu teknik-teknik menggunakan tali, kaedah menyelamat dengan betul, cara simpulan tali, mengenal pasti keadaan air laut, paya serta sungai dan juga teknik-teknik menyelamat di dalam air.





























