Itijima PAS Sarawak dan Mengapa Sarawak Mundur Dalam Malaysia

3699

Kehadiran peserta seramai 120 orang ke Itijima PAS Sarawak baru-baru ini di Bintulu mendapat sambutan yang diluar jangkaan. Kehadiran perserta dari Miri, Bintulu, Petrajaya, Kota Samarahan, Saratok dan Tanjung Manis telah menunjukkan suatu perkembangan yang cukup baik untuk PAS Sarawak mengembangkan pengaruhnya ke seluruh pelusuk negeri Sarawak. Antara agenda Itijima PAS Sarawak adalah untuk menawan sekurang-kurang dua DUN dalam PRN ke11 yang akan datang.

Pembentang kertas kerja disampaikan oleh pimpinan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Ustaz Anuar Ali Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, YB Alan Ling, ADUN Piasau, YB Dr Hatta Ramli, ahli parlimen Kuala Krai merangkap Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Raja Iskandar Al-Hiss, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat dan YB Ir Khalid Samad,Ahli Parlimen Shah Alam/AJK PAS Pusat. Kertas kerja yang dibentangkan semasa itijima PAS Sarawak lebih fokus pada post mortem PRU ke13 yang lalu.

1168462216_96ce4fc767Selain daripada itu kita juga ingin mengulas tentang kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang memberi jaminan pembangunan sama rata untuk semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Kenyataan Datuk Seri Najib Razak semasa sambutan Hari Malaysia baru-baru ini di Sarawak menegaskan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinannya tidak akan meminggirkan Sabah dan Sarawak, malah sentiasa berusaha memastikan pembangunan sama rata untuk semua negeri di Malaysia. Perdana Menteri berkata, satu kompromi sudah dicapai bagi melindungi kepentingan Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu dalam penubuhan Malaysia. Katanya, hak autonomi dan kedudukan kedua-dua negeri ini turut dinyatakan dalam Perkara 20, Suruhanjaya Cobbold.

Masalah pembangunan yang tidak sama rata antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia memang sangat ketara sejak dari dulu lagi. Kita ambil contoh Sarawak yang kaya dengan sumber asli dan bahan galian tapi rakyatnya masih ramai yang hidup dalam kemiskinan terutama yang hidup di luar bandar dan pedalaman.

Antara beberapa faktor yang menyebabkan Sarawak mundur adalah seperti berikut:-

Jalan perhubungan yang tidak elok dan sukar untuk menembusi kawasan pedalaman – Struktur geografi Sarawak yang berbukit cerun dipenuhi dengan rangkaian sungai-sungai yang berliku-liku antara faktor utama mengapa pengangkutan yang paling utama di negeri ini adalah melalui sungai dan udara. Tambahan pula Sarawak adalah negeri yang terbesar di Malaysia. Adakah sebab ini Sarawak tidak dapat dibangunkan? Mengapa Semenanjung Malaysia boleh dibina semua jaringan jalanraya yang baik walaupun keadaannya hampir serupa dengan Sarawak, sedangkan Sarawak masih ketinggalan jauh berbanding Semenanjung Malaysia. Kemana perginya peruntukan berbilion ringgit yang disalurkan oleh kerajaan pusat selama ini untuk pembinaan jalanraya dan infrastruktur di Sarawak? Adakah berlaku ketirisan dan penyalahgunaan dana dalam hal pengurusan peruntukan tersebut?

1. Kekurangan infrastruktur dan kemudahan awam terutama dalam kawasan luar bandar dan pedalaman

2. Kekurangan perumahan kos murah dan mampu milik menyebabkan ramai penduduk luar bandar yang berhijrah ke bandar tinggal di kawasan setinggan

3. Kekurangan sistem pusat Pendidikan awam seperti pusat pengajian tinggi untuk menampung pelajar yang kurang berkemampuan untuk belajar ke luar negara.

4. Kekurangan sistem pusat Kesihatan awam termasuklah hospital-hospital awam di luar bandar

5. Peruntukan berbilion-bilion ringgit tidak sampai ke golongan sasaran terutama untuk pembangunan di luar bandar dan pedalaman.

6. Projek untuk rakyat kurang diberi perhatian dan kebanyakkan projek-projek Mega hanya dikuasai oleh kroni-kroni yang mempunyai hubungan dengan pihak berkuasa

7. Tiada perancangan khas yang sistematik untuk menaiktaraf dan meningkatkan ekonomi kehidupan penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman

sekolah di pedalamanItulah antara beberapa faktor yang boleh kita senaraikan dan kemukakan, sebenarnya masih banyak lagi yang tidak dalam senarai tersebut. Sekarang persoalannya mengapakah selama 50 tahun Sarawak dalam Malaysia masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan?

Adakah penduduk Sarawak boleh diberi jaminan yang pembangunan di Sarawak sama rata macam di Semenanjung Malaysia dalam masa terdekat seperti yang dijanjikan oleh PM? Sebagai sebuah negara penyumbang terbesar sumber galian seperti petrol dan balak sepatutnya masalah infrastruktur dan kemudahan jalan penghubungan tidak berlaku di Sarawak kalau peruntukan tersebut diguna sepenuhnya. Adakah mungkin disebabkan ada ketirisan serta penyalahgunaan peruntukan dan kuasa menjadi punca negara Sarawak mundur?

Antara beberapa cadangan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan Pusat dan kerajaan Sarawak lakukan untuk memajukan Sarawak adalah seperti berikut:-

1. Jalan Perhubungan ke seluruh pelusuk Sarawak perlu diperbaiki sepenuhnya dengan adanya kemudahan pengangkutan yang membolehkan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman dapat menjual produk dan hasil petanian mereka ke bandar dengan kos yang berpatutan

2. Memberi lot-lot tapak perumahan kepada penduduk yang tidak memiliki rumah sendiri termasuk membina lebih banyak lagi rumah kos rendah dan mampu milik

3. Membina infrastruktur dan kemudahan awam di semua tempat yang stratigik agar semua penduduk yang memerlukan dapat manfaatnya

4. Membina lebih banyak pusat pengajian tinggi seperti universiti di kawasan luar bandar agar pelajar yang kurang berkemampuan dapat belajar dengan kos yang berpatutan

5. Membina pusat kesihatan seperti hospital dan kelinik di kawasan luar bandar

6. Membina lebih banyak balai polis dan bomba di kawasan luar bandar agar keselamatan penduduk di luar bandar terjamin dari ancaman bahaya

7. Membina jaringan perhubungan telekomunikasi seperti internet agar memudahkan penduduk di luar bandar dapat maklumat terkini

8. Memberi perkhidmatan dan latihan secara percuma kepada penduduk luar bandar supayadapat berdikari dan menaikan taraf kehidupan dengan menjanakan ekonomi sendiri

9. Manfaatkan tanah Sarawak yang luas sebagai Hub atau pusat peladangan dan pertanian cara moden (Penduduk tempatan diberi keutamaan untuk menjalankan projek ini)

10. Baitulmal Sarawak sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk membantu golongan 8 asnaf bukan digunakan untuk perniagaan dan untuk kepentingan sesuatu pihak. (pemberian zakat perlu dilaksanakan sehingga tiada lagi orang fakir miskin serta orang fakir miskin itu telah keluar (bebas) dari wilayah kefakiran itu.)

11. Setiap peruntukan yang disalurkan dari kerajaan pusat hendaklah telus dan perlu dipantau dan diodit agar ianya tidak disalahgunakan oleh pihak tertentu yang ada kepentingan

12. Jawatankuasa Penyelaras Program Tinjauan Hak Tanah Adat Negeri perlu dilaksanakan dengan melantikkan Jawatankuasa yang profesional, bebas dari pengaruh sebarang parti politik dan khusus bagi menyelaras pelaksanaan tinjauan tanah bagi pengeluaran geran komunal serta mengkaji dana yang diperlukan bagi tujuan sesuatu projek

hqdefaultIni adalah beberapa cadangan yang perlu ditangani oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sarawak untuk membangunkan Sarawak supaya sama atau intensiti yang lebih besar dari Semenanjung dari segi pembangunan ekonomi dan taraf kehidupan rakyat tempatan. Kalau hasil kekayaan sumber asli Sarawak digunakan dengan sebaik mungkin dan digunakan secara adil sudah pasti Sarawak sudah lama membangun dari Semananjung Malaysia.

Mungkin masih banyak lagi isu-isu atau faktor-faktor yang boleh menyebabkan Sarawak mundur selain dari yang tersebut diatas. Walaupun tidak nafikan pembangunan di kawasan bandar ada kemajuan dengan adanya ‘Politik Pembangunan’ tetapi kawasan di luar bandar dan pedalaman masih jauh ketinggalan dari arus pembangunan. ‘Politik Pembangunan’ hanya menguntungkan pihak tertentu saja sedangkan pembangunan di luar bandar masih terabai. Banyak tanah-tanah orang asal digunakan oleh syarikat peladangan hanya untuk kepentingan peribadi tanpa mengira nasib penduduk tempatan yang kehilangan hak atas tanah adat mereka.

Dimana punca kesilapan tersebut? Adakah disebabkan oleh projek pembangunan tersebut hanya dinikmati oleh golongan tertentu atau mereka sengaja membiarkan penduduk luar bandar terus bergantung dengan subsidi kerajaan agar mereka ini terus patuh dan taat setia kepada pihak pemerintah.

Sepatutnya rakyat Sarawak yang melabur (mengundi) BN dapat menikmati hasil pelaburan mereka dengan pembangunan yang memberi manfaat dan menguntungkan mereka tetapi sebaliknya berlaku. Sampai bila rakyat Sarawak mahu sedar dan memberi peluang kepada mereka ini terus memerintah? 50 tahun atau 100 tahun lagi barulah hendak berubah dimana ketika itu anak, cucu, cicit kita hidup merempat di negara sendiri.

Sarawak dianggap sebagai deposit untuk kemenangan BN di peringkat pusat, sepatutnya kerajaan pusat yang dikuasai oleh BN berterima kasih kepada rakyat Sarawak yang telah memberi kemenangan besar sehingga kerajaan BN dapat berkuasa semula. Sebagai balasan Sarawak perlu diberi keutamaan dalam membangunkan kawasan luar bandar dan pedalaman agar ianya setanding dengan Semenanjung Malaysia.

Janji PM untuk pembangunan sama rata kepada semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak hanya indah khabar dari rupa sekiranya masalah yang tersebut tidak diatasi dan dilaksanakan dengan segera secara adil, jujur dan ikhlas.

Sebagai kesimpulannya, kalau tidak berlaku penyelewengan dan menyalahgunakan kuasa, kita yakin Sarawak boleh maju setanding dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia. Sama-samalah kita berfikir cara yang terbaik untuk membangunkan Sarawak. Kejayaan sesuatu dasar itu bergantung kepada ketelusan pelaksanaannya iaitu bebas dari rasuah, salah guna kuasa dan setiap projek tidak berlegar di kalangan kroni yang ada kaitan dengan pemimpin tertentu sahaja. Secara dasarnya, Sarawak perlu berubah dengan adanya pemimpin yang jujur,amanah dan ikhlas dalam memperjuangkan hak rakyat Sarawak dan berlaku adil kepada semua agar semua rakyat Sarawak dapat menikmati hasil yang sama rata tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman poltik.

Haji Jofri Jaraiee
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sarawak
20 September, 2013