Isu RUU355 ‘dipolitikkan’ Pembangkang

125

Oleh ; KAM

KUALA TERENGGANU – Yang DiPertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali menyifatkan, isu RUU355 ‘dipolitikkan’ dalam situasi negara menghadapi pandemik Covid-19 dan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Beliau menjelaskan, dalam keadaan demikian semua perkara tidak boleh dilakukan kerana badan Legislatif tergantung di bawah ordinan darurat tersebut.

Menurutnya, RUU355 itu ‘dipolitikkan’ kerana akta itu tidak melibatkan orang bukan Islam sebab hanya berkait dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Isu RUU355 ini, isu yang dipolitikkan. Pada hal, isu ini hanya berkait dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan hanya berkait dengan orang Islam sahaja.

“Tetapi, apabila isu ini dipolitikkan ianya telah menakutkan masyarakat bukan Islam bahawa akan dikuatkuasakan juga kepada orang bukan Islam.

“Jadi, mesti ada satu usaha yang berterusan sama ada anjuran kerajaan atau anjuran parti (PAS) supaya masyarakat bukan Islam boleh memahami isu yang ada ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam Pejabat Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan di pejabat Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Justeru, Dato’ Yahaya berpendapat isu RUU355 perlu ditangani dengan berhati-hati agar dapat difahami oleh masyarakat bukan Islam di negara ini.

“Saya yakin bahawa isu RUU355 ini, perlu ditangani dengan berhati-hati. Maksud saya, penjelasan kepada masyarakat terutama yang mewakili masyarakat bukan Islam, perlu diberikan penjelasan dengan sebaik-baiknya.

“Jika perkara (RUU355) ini belum dibawa lagi ke Parlimen, perlu ada ruang perbincangan dari masa ke semasa supaya masyarakat bukan Islam dapat memahaminya dengan baik apa yang terkandung dalam RUU355 ini,” jelasnya.