Isu Permit Harakah dan SK

949

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita28/Picture%20122.jpg– KDN Perlu Juga Melihat Kepada Akhbar Arus Perdana

Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) menempelak tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertindak menghantar Surat Tunjuk Sebab kepada Akhbar Harakah yang merupakan lidah rasmi Parti Islam Semalaysia (PAS). Sebelum ini KDN juga telah menggantung permit Suara Keadilan yang dimiliki oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas alasan Suara Keadilan gagal memberikan jawapan yang memuaskan berhubung artikelnya yang mendakwa Felda bankrap.  

Tindakan KDN jelas ada agenda tersendiri dan tindak tanduk mereka seolah-olah KDN satu badan yang tidak bebas sepenuhnya dan dibayangi oleh kerajaan memerintah. Buktinya, Suara Perkasa yang dikeluarkan oleh NGO PERKASA yang dipimpin oleh MP Pasir Mas, Dato’ Ibrahim Ali hanya diberikan amaran sahaja sedangkan kenyataan yang dikeluarkan sememangnya berbaur perkauman. Suara Perkasa itu sendiri pun tidak melambangkan konsep 1 Malaysia yang sibuk dilaungkan oleh Kerajaan UMNO/BN sekarang ini.

Kemudiannya jika dilihat pula kepada Utusan Malaysia dan Berita Harian, kenyataan-kenyataan dan artikel-artikel yang dikeluarkan saban hari memfitnah pembangkang dan membohongi rakyat secara terang-terangan akan tetapi selamat dari sebarang tindakan. Akhbar milik kerajaan ini sentiasa cuba memutar belitkan kenyataan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dan isu yang dimainkan sememangnya jelas berbaur perkauman.

Mengambil contoh bagaimana Utusan Malaysia memutar belit kenyataan Anwar Ibrahim dalam isu lawatan beliau ke AS. Begitu juga dalam isu tanah melayu di Pulau Pinang, mereka mengambarkan bahawa kerajaan Pulau Pinang yang diterajui oleh Lim Guan Eng bertindak sesuka hati merampas tanah orang melayu tanpa belas kasihan. Mereka cuba menimbulkan isu perkauman daripada isu ini. Jadi sudah terang dan jelas Utusan bermain api perkauman tetapi mengapa tiada tindakan diambil? Bukankah ini boleh menimbulkan keadaan yang tidak tenteram diantara kaum dinegara ini? Mengapa KDN hanya membisu dalam hal ini. Banyak lagi rencana-rencana yang kalau hendak diambil kira sememangnya cukup layak KDN bertindak namun KDN hanya mengambil sikap butakan mata,pekakkan telinga. Itu belum lagi dilihat kepada lambakan majalah-majalah separuh bogel dan berbaur lucah  serta kurafat yang boleh memesongkan akidah umat Islam dalam negara kita.

DPPP mencabar agar KDN bertindak ke atas Utusan Malaysia dan Berita Harian yang saban hari mengeluarkan artikel yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam serta membohongi rakyat dengan tuduhan yang tidak berasas sama sekali terhadap pembangkang. KDN perlu bertindak secara adil kepada semua. Jangan bertindak hanya kerana akhbar tersebut milik pembangkang namun menjadi seperti ‘budak bodoh’ bila berdepan dengan akhbar milik kerajaan. Bersikap dan bekerjalah secara profesional, bukan semacam ‘melayu’.

SUHAIZAN KAIAT
KETUA PENERANGAN
DEWAN PEMUDA PAS PUSAT