KUALA TERENGGANU – Isu harga ikan yang mahal di negeri ini dapat diselesaikan sekiranya nelayan bot laut dalam dapat melabuhkan hasil tangkapan mereka di pelabuhan dan jeti-jeti dalam negeri, bukan di negeri jiran seperti berlaku sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, antara halangan untuk bot berlabuh adalah kerana masalah muara cetek dan kemudahan infrastruktur tidak lengkap.
Oleh itu, nelayan lebih selesa mendaratkan hasil laut di jeti atau pelabuhan, samada di Kuantan dan Tok Bali.
“Kita menyelesaikan masalah dengan kita melihat apa dia akar umbi punca kepada masalah. Kita kenalpasti harga ikan yang tinggi berpunca dari pendaratan ikan nelayan Terengganu,
“dilakukan di luar (negeri) dan untuk ikan ‘balik’ semula ke sini memerlukan kos pengangkutan yang menyebabkan peningkatan harga ikan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, di sini hari ini. Hadir sama Pengarah LKIM Terengganu, Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmud.


Kemerosotan kuantiti pendaratan ikan di pelabuhan juga menyebabkan harga ikan melambung tinggi dan beliau percaya, isu harga ikan mahal dapat diselesaikan sekiranya nelayan laut dalam kembali menurunkan hasil tangkapan mereka di jeti LKIM.
Isu muara cetek dan kekurangan kemudahan infrastruktur menjadi masalah utama nelayan dan seramai 1,800 nelayan yang berlabuh di pelabuhan LKIM Chendering sebelum ini kini semakin berkurangan kepada 500 orang.
Sehubungan itu, kerajaan negeri akan menaiktaraf pelabuhan LKIM Chendering bagi menarik kembali nelayan mendaratkan hasil tangkapan mereka di sana sekaligus ‘menghidupkan’ semula industri perikanan pelabuhan berkenaan yang kini suram.
Selain menyediakan kemudahan dan prasarana lengkap seperti bilik sejuk beku, bekalan ais, kerajaan juga akan mendalamkan muara sungai yang cetek bagi membolehkan bot-bot besar dari nelayan laut dalam berlabuh dan menurunkan hasil tangkapan mereka di sana.
Beliau berkata, kerja-kerja baik pulih melibatkan kos sebanyak RM23 juta itu adalah dari dana kerajaan pusat dan kajian mengenai perkara itu sudah dilakukan oleh kerajaan terdahulu.


























