Isu BR1M: Bentang Kajian Penambahbaikan Terlebih Dahulu

1972

KUALA TERENGGANU – Kerajaan pusat digesa supaya membentangkan kajian penambahbaikan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) terlebih dahulu sebelum mengemukakan sebarang pendirian terhadap masa depan perlaksanaan baucer tersebut.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, kajian tersebut telah ditegaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri seminggu selepas diberi mandat pemerintahan.

“Ironinya kini, Perdana Menteri mendakwa pemberian tersebut sebagai “memanjakan” rakyat sekaligus membuktikan Tun tidak senada dengan pendirian sebelumnya.

“Saya tidak menolak perancangan kerajaan sedang untuk menyelaras semula kedudukan fiskal disebabkan pengurangan pendapatan kira-kira RM20 bilion disebabkan perlaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Langkah “penjimatan” dengan mengurangkan perbelanjaan operasi (Operating Expenditures) melalui pemotongan subsidi sudah pasti menjadi pilihan yang akan diambil oleh pihak kerajaan,” jelasnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Setiu, berkata demikian dalam satu kenyataan media, hari ini, Selasa, 28 Ogos.

Menurutnya, dalam kenyataan Tun bertarikh 17 Mei 2018 menyatakan, kerajaan baru akan meneruskan pemberian bantuan wang tunai itu, dengan ‘pemutihan’ untuk memastikan golongan yang benar-benar layak menerimanya.

Namun jelasnya, dalam isu ini adalah amat penting kerajaan memahami realiti ekonomi rakyat (fiqh waq’ie) justeru melakukan pertimbangan yang baik (fiqh muwazanah) serta memilih keutamaan (fiqh awlaqwiyyat).

“Itulah neraca yang adil dan mensejahterakan rakyat .Tidak wajar BR1M dibakulkan dalam permainan politik yang akhirnya membuatkan rakyat sendiri menderita.

“Justeru, saya sekali lagi menyarankan agar kerajaan bertindak dengan lebih matang sebelum mengeluarkan sesuatu pandangan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat secara umum,” ujarnya.